EDINBURGH - Pengalaman gembira seorang wanita selepas pulang
bercuti dari Asia Tenggara bertukar mimpi ngeri apabila menemui seekor
lintah berada di dalam hidungnya sejak lebih sebulan lalu.
Menurut laporan Straits Times, Daniela Liverani, 24, dari Scotland
percaya haiwan sepanjang kira-kira 7.5 sentimeter itu masuk ke dalam
hidungnya ketika berada Vietnam atau Kemboja ketika sedang berenang.
Pada awalnya, dia menyangka hidung berdarah berterusan yang dialami
berpunca daripada saluran darah pecah akibat kemalangan motosikal ketika
percutiannya itu.
"Ketika sedang mandi, ia keluar hingga ke bibir bawah dan saya boleh
lihat ia melekat pada hujung hidung saya. Sebelum ini saya sangka objek
hitam di dalam hidung itu adalah darah beku, tetapi selepas melihat
dengan lebih dekat di cermin, baru saya sedar ia sebenarnya seekor
haiwan," katanya.
Menurut doktor, jika Liverani terlewat membuat pemeriksaan, lintah itu berkemungkinan boleh masuk ke dalam otaknya. -Sinar Harian