Langkah masuk ke ruang Pameran Warisan Rasul dan Anbiya di Kompleks
Taman Seni Islam Selangor terhenti sebaik mendengar suara garau
mengalunkan surah al-’Alaq di pintu ‘Gua Hira’.
Serentak itu, lima ayat permulaan wahyu Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW terpancar jelas pada dinding gua.
Belum pun sempat menyambung langkah, suram gua pantas mengimbas imaginasi, mengejar denyut debar di pangkal hati.
Betapa Rasulullah SAW dulu berdepan ketakutan apabila Baginda diturunkan mukjizat itu.
Betapa Rasulullah SAW dulu berdepan ketakutan apabila Baginda diturunkan mukjizat itu.
REPLIKA salah satu mukjizat Nabi Isa a.s. |
“Memang itulah (imaginasi dan remang roma) yang kita mahu pengunjung
rasa apabila masuk ke ruang pameran,” kata Ketua Bahagian Muamalat
Yayasan Restu, Zarina Mahusin.
Beliau berkata, pameran itu tidak hanya berlangsung sempena Malaysia Islamic Arts & Tourism Souq (MIATS) 2014, tetapi dilanjutkan selama sebulan.
Menerangkan sejarah ringkas al-Quran, Zarina berkata, isi kitab itu diturunkan kepada Rasulullah SAW secara berperingkat dalam tempoh 22 tahun, dua bulan dan 22 hari.
“Pengumpulan al-Quran pada zaman Nabi Muhammad SAW melalui dua cara iaitu al Jam’u fis Sudur atau pengumpulan dalam dada (secara hafalan) dan al Jam’u fis Suthur dalam bentuk tulisan.
“Antara yang paling banyak menulis wahyu ialah Zaid bin Thabit, Mu’awiyah bin Abi Sufyan, Abdullah bin Mas’ud r.a. dan Ali bin Abi Talib r.a.,” katanya.
Beralih ke ruang sejarah al-Quran, pengunjung mendapat maklumat mengenai perjalanan kitab suci ini dan perkembangannya.
“Paling menarik, kami bawakan naskhah al-Quran berusia lebih 600 tahun dari China yang disalin dalam seni khat Sini dan digaris hias dengan emas tulen.
“Kami juga tonjolkan replika pedang Rasulullah SAW dan sahabat serta kediaman baginda di Makkah,” katanya.
Penulis sempat bertemu dengan penulis khat dari China yang memperkenalkan dirinya sebagai Hassan.
Dia menunjukkan kepakaran menyalin al-Quran serta hasil seni khat yang dilorek di atas kertas.
“Seni khat China berbeza dengan Arab dan Melayu. Saya gemar menggabung kemahiran dalam seni kaligrafi untuk menghasilkan imej bersulamkan ayat suci al-Quran,” katanya. -myMetro