"Siapa Faekah? Siapa Dia..Tanya Dialah" - Azmin Ali

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mempersoal kreadibiliti bekas Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI), Faekah Husin, mengenai pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Kata Azmin, kenyataan Faekah tidak boleh diambil kira berdasarkan keputusan mesyuarat yang telah dipengerusikan oleh bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagaimana yang diminitkan pada 22 September lalu.

Justeru itu katanya, Anwar yang merupakan Ketua Umum PKR itu kekal jawatan sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor.

"Siapa Faekah? Dia siapa...tanya dialah.

"Saya (buat keputusan) berdasarkan minit mesyuarat pada 22 September yang dipengerusikan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim...bukan Faekah Husin," katanya yang dipetik dari mStar.

Faekah sebelum ini mendakwa bahawa mesyuarat terakhir Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor bukan sahaja memutuskan pejabat Penasihat Ekonomi yang diduduki Anwar ditutup, tetapi turut melibatkan khidmat Anwar sebagai Penasihat Ekonomi ditamatkan serta merta.

Bekas orang kanan Khalid itu turut mendakwa bahawa keputusan menamatkan khidmat Anwar adalah keputusan bersama dan beliau menerima arahan dari bekas Menteri Besar itu untuk mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara tersebut.

Faekah menegaskan bahawa beliau diberi kuasa mengeluarkan kenyataan media berdasarkan jawatannya sebagai Pegawai Eksekutif MBI kerana pejabat Penasihat Ekonomi berada di bawah kuasa MBI. -KedahNews.com