Persimpangan Kampung Lembah Keriang dinaiki air akibat banjir kilat, semalam. - Foto: JPAM Kedah |
SINTOK – Dua pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dan seorang
penunggang motosikal nyaris maut apabila air sungai melimpah di Jalan
Sintok- Bukit Kachi, di sini kelmarin.
Dalam kejadian jam 11.40 malam itu penunggang motosikal Nor Zaimi
Ibrahim, 39, yang cuba meredah arus deras, tiba-tiba terjatuh dan hampir
lemas.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam, Lee Ah
Hing berkata, kejadian berlaku kira-kira 1 kilometer sebelum sampai ke
Bukit Kachi.
Bagaimanapun, mangsa terselamat selepas dapat berpaut pada tiang elektrik ketika dihanyutkan arus.
“Dua lagi mangsa terperangkap dalam arus deras itu, Mohd Saiful
Afendi Azlan, 25, dan rakan Siti Nor Aishah Mohd Zain, 24, yang berada
dalam kereta untuk ke kolej kediaman UUM Bukit Kachi.
“Kedua-duanya diselamatkan anggota bomba dengan menggunakan tali bagi mengeluarkan mangsa dari kawasan kejadian,” katanya.
Tambah beliau, air sungai berhampiran jalan melimpah akibat hujan
lebat sebelum itu menyebabkan arus deras melintasi jalan dan mangsa
terperangkap di tengah-tengah jalan itu,” katanya.
Beberapa bangunan UUM dan Akademi Binaan Malaysia Bukit Kachi turut dilanda banjir lumpur akibat hujan lebat. -Sinar Harian