"Tahaluf siyasi" atau kerjasama politik yang diamalkan di antara kerajaan Islam dengan kumpulan Kristian di Sepanyol memusnahkan negara itu yang suatu masa dahulunya merupakan sebuah negara Islam yang besar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam siri keduanya mengkritik "tahaluf siyasi" diamalkan PAS bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR), bekas perdana menteri itu berkata, hasil perpecahan antara puak-puak di dalam negara Islam itu menyebabkan ada yang meminta bantuan Kristian Sepanyol untuk memusnahkan negeri-negeri yang dimusuhi mereka.
"Inilah hasil ‘tahaluf siyasi’ orang Islam dengan orang yang lebih kuat dari mereka. Apakah ada pelajaran yang boleh didapati dari sejarah Islam di Semenanjung Sepanyol," katanya dalam tulisan di blognya www.chedet.cc hari ini.
Menurut Dr Mahathir, dalam peperangan antara negeri-negeri Islam ini, ada yang meminta pertolongan orang Kristian Sepanyol yang memiliki tentera yang kuat.
"Pihak yang bersubahat dengan Sepanyol dapat menewaskan musuh Islam mereka. Tetapi pihak Sepanyol merebut pemerintahan wilayah yang ditawan.
"Negeri Islam yang mendapat pertolongan Sepanyol tidak dapat membuat apa-apa kerana mereka lemah," katanya.
"Yang terakhir ialah Wilayah Granada. King Ferdinand dan Queen Isabella berjaya mengalahkan dan menakluk Granada."
Dr Mahathir berkata, selepas kekalahan mereka, orang Islam dan Yahudi di wilayah itu diberi tiga pilihan. Mereka boleh kembali ke Afrika Utara, atau memeluk agama Kristian Katolik atau dibunuh.
Dr Mahathir semalam berkata, PAS bijak menggunakan istilah Arab untuk menghalalkan mereka berpeluk dengan orang kafir yang memusuhi Islam dan mengambil langkah bermusuhan dengan Umno.
"Dan di masa yang sama permusuhan dengan orang Umno diteruskan kerana kerjasama Umno dengan orang bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam tidak diberi nama Arab iaitu 'tahaluf siyasi'," katanya sebelum ini di blog miliknya.
Beliau berkata, PAS masih rugi walaupun bekerjasama dengan DAP dan PKR, ia dibuktikan dengan jumlah kerusi Parlimen yang diperoleh parti Islam itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lepas.
"Tetapi PAS masih tidak berjaya menjadi kerajaan di peringkat pusat.
"Dalam PRU13 yang dapat kerusi terbanyak dalam Pakatan ialah DAP dengan 38 kerusi, PKR 30 kerusi dan PAS hanya 21 kerusi. Sementara Pulau Pinang kekal di tangan DAP dan Selangor di tangan PKR, PAS hilang Kedah," katanya.
Dr Mahathir berkata, PAS ditipu oleh DAP dalam kerjasama gabungan PR.
Katanya, Barisan Nasional (BN) sudah lama bekerjasama antara satu sama lain tanpa menggunakan istilah bahasa Arab seperti "tahaluf siyasi" seperti digunakan PAS.
"Dengan itu kerjasama PAS dengan orang kafir DAP diperkenal dengan perkataan 'tahaluf siyasi' yang maksudnya sama dengan kerjasama. Selesai masalah.
"Tahaluf siyasi atau kerjasama ini tidak berbeza sedikit pun dengan kerjasama Umno dengan MCA dan MIC tidak disebut dan tidak dijelaskan," katanya.
Dr Mahathir juga mempersoalkan tindakan PAS yang masih bersama DAP walaupun parti itu secara terang-terangan menentang syariat Islam.
"DAP secara terang-terangan menolak negara Islam dan hudud PAS, tidak seperti MCA dan MIC tidak menentang perjuangan Islam Umno juga tidak disebut.
"Kerana kerjasama ini disebut sebagai ‘tahaluf siyasi’ dalam bahasa Arab maka kerjasama ini tidak menjadikan PAS kafir," katanya. -Malaysian Insider