Tak Bayar Hutang: 85,000 Nama Peminjam PTPTN Masuk Senarai Hitam Jabatan Imigresen

Satu sekatan secara meluas oleh Jabatan Imigresen dikenakan ke atas mereka daripada meninggalkan negara ini.
 
Bukan sahaja pesalah cukai malah mereka yang mempunyai rekod jenayah turut berhadapan dengan sekatan di pemeriksaan di pintu sempadan atau di lapangan terbang.
Perangkaan terbaharu menunjukkan kira-kira 85,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak membayar semula pinajaman mereka berada di dalam senarai hitam Jabatan Imigresen.
Mereka merupakan antara 1.14 juta orang di dalam senarai hitam Imigresen termasuk 701,266 rakyat Malaysia.
Jabatan Imigresen menasihatkan rakyat Malaysia untuk membuat semakan status perjalanan terlebih dahulu sekiranya mereka tiada halangan untuk meninggalkan negara ini.
"Tidak kira sama ada anda merancang untuk meninggalkan negara menerusi kapal terbang, jalan raya, kereta api atau perjalanan laut.
"Selagi anda berada di dalam senarai hitam, anda tidak akan dibenarkan melepasi pemeriksaan Imigresen, meskipun anda mempunyai tiket penerbangan yang sah," kata Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport Jabatan Imigresen, Ibrahim Abdullah kepada The Star.
Setakat 3 September lalu, sekatan ke luar negara yang dilakukan oleh jabatan itu termasuk mereka yang diisytiharkan bankrap. Seramai 277,693 rakyat Malaysia telah disenaraihitamkan oleh Jabatan Insolvensi.
Rakyat Malaysia yang tidak mematuhi undang-undang imigresen negara asing seperti tinggal lebih masa atau menyalahgunakan visa perjalanan mereka turut disenaraihitamkan.
Ibrahim berkata, sekatan itu mungkin menghalang pesalah tersebut untuk memasuki semula ke negara berkenaan dan maklumat ini akan dikongsikan dengan jabatan imigresen tempatan, seperti Malaysia di mana ia kemudian akan meletakkan pesalah dalam senarai pemerhatian.
Seramai 32,516 rakyat Malaysia di dalam kategori ini kerana tinggal lebih masa di negara lain, serta 115,803 warga asing yang mempunyai kesalahan yang sama dengan menetap lebih masa di Malaysia dan mereka turut dikenakan sekatan daripada meninggalkan negara ini.
"Jika mana-mana rakyat Malaysia yang berada dalam senarai pemerhatian cuba untuk meninggalkan negara ini, mereka akan dihalang dan di bawa untuk siasatan sehingga diyakinkan bahawa mereka tidak akan melakukan kesalahan yang sama di negara lain lagi," kata Ibrahim.
Pesalah cukai yang degil juga menunjukkan jumlah yang ramai dalam senarai hitam perjalanan ke luar negara di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan 135,111 orang.
The Star pada 26 Ogos lalu melaporkan bahawa pesalah cukai tidak akan dibenarkan ke luar negara sehingga mereka membayar cukai yang diwajibkan.
Sekatan yang sama turut dikenakan terhadap mereka yang mempunyai isu tertunggak dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), seperti mereka yang gagal untuk memfailkan potongan KWSP.
Seramai 10.219 rakyat Malaysia dan 532 warga asing disenaraikan di bawah kategori ini.
Manakala 133,314 bukan warganegara dihalang daripada meninggalkan negara ini kerana taraf kerakyatan mereka ditarik balik atau permohonan mereka ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
Daripada jumlah itu, 88,830 telah memasuki negara ini secara haram dan telah diklasifikasikan di bawah Kes Tanpa Izin oleh Jabatan Imigresen.
Menurut Ibrahim, seramai 210 rakyat Malaysia turut berada di dalam kategori ini, yang merujuk kepada mereka yang dikenal pasti oleh Kementerian Dalam Negeri kerana terlibat dengan aktiviti membabitkan pekerja asing tanpa izin.
Beberapa kategori lain berkaitan jenayah turut disenaraihitamkan, termasuk mereka di bawah pemerhatian polis (15,699 kes), dakwaan berkaitan dadah (7,673 kes) dan jenayah (5,090 kes).
Terdapat juga 4,953 rakyat Malaysia yang disekat ke luar negara kerana tidak mematuhi peraturan Kastam.
Bagi memastikan sekiranya anda dikena sekatan ke luar negara, anda hanya perlu memasukkan nombor MyKad di portal semakan status perjalanan di http://sspi2.imi.gov.my/
"Jika mereka telah dikenakan sekatan, mereka perlu tampil sendiri ke bahagian keselamatan dan pasport Imigresen berdekatan, dan mereka akan diberitahu kenapa mereka tidak dibenarkan meninggalkan negara ini.
"Ia bagi mengelakkan daripada penyalahgunaan identiti oleh pihak ketiga kerana kita tidak mahu maklumat sulit didedahkan kepada mereka yang menyamar," kata Ibrahim. -mStar