JITRA - Keseronokan seorang remaja berusia 13 tahun menunggang motosikal
milik bapanya terbantut selepas dicekup dalam satu serbuan dilakukan
sepasukan anggota polis dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Kubang Pasu di Taman Tunku Serina, Bandar Darulaman di sini,
kelmarin.
Hasil pemeriksaan ke atas remaja terbabit mendapati dia bukan sahaja
menunggang motosikal tanpa lesen memandu malah turut melakukan kesalahan
tidak memakai topi keledar.
Dalam serbuan bermula jam 6 petang itu, polis berjaya menahan 30 remaja
berusia antara 13 hingga 20 tahun termasuk penonton yang sedang asyik
menyaksikan aksi mat rempit.
Operasi diketuai oleh Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik
Daerah Kubang Pasu, Asisten Superintendan Zakaria Shahadan bersama dua
pegawai dan lima anggota serta dibantu 13 anggota sukarelawan Polis Diraja Malaysia.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah
berkata, kumpulan remaja berkenaan tidak menyedari kehadiran polis yang
menyamar dan melakukan pemantauan di taman perumahan itu sejak dua
minggu lalu.
“Sebaik sahaja kumpulan remaja terbabit mula berkumpul sebelum
melakukan aksi rempit dan pelbagai aksi merbahaya, pasukan polis yang
menyamar terus menyerbu dan menahan mereka.
“Pihak polis terpaksa menggunakan taktik penyamaran bagi membanteras
kegiatan berkenaan yang bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri
malah pengguna jalan yang lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan remaja majoritinya
merupakan pelajar sering berkumpul di kawasan itu untuk merempit secara
suka-suka dan melakukan pelbagai aksi merbahaya.
“Kehadiran kumpulan ini menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan
penduduk setempat yang sering terganggu dengan bunyi bising kerana
aktiviti itu sering berlanjutan dari petang sehingga ke tengah malam
terutama pada hujung minggu dan cuti umum,” katanya.
Abd Rahim berkata, antara kesalahan utama yang dikesan sepanjang
operasi itu ialah tidak memiliki lesen kenderaan dan tidak memakai topi
keledar yang mana boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan
Jalan 1987.
“Kesemua remaja yang ditahan diambil keterangan sebelum diserahkan
kepada ibu bapa dan penjaga masingmasing manakala sebanyak 19 motosikal
disita.
“Saya menasihati ibu bapa dan penjaga mengambil tahu aktiviti anak-anak
bagi mengelak dari terjebak dalam kegiatan itu kerana polis sentiasa
memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati
melanggar undang-undang,” katanya. -Sinar Harian