Gambar dengan seorang wanita ketika program Super Spontan yang menimbulkan kontroversi apabila Tauke digelar kaki perempuan. |
Pelawak Tauke (Jambu) menganggap tindakannya membalas
komen pengikut Instagram miliknya dengan kata-kata kesat adalah sebagai
memberi pengajaran kepada individu berkenaan.
Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 38, berkata, dia
berbuat demikian kerana merasakan sikap pengikut tersebut keterlaluan
apabila memberi komen yang disifatkan menjatuhkan maruahnya.
"Saya sedar sebagai selebriti perkara tersebut agak sensitif, namun bagi
saya biarlah orang pandang buruk kepada saya asalkan individu tersebut
tidak mengulangi perbuatannya itu.
"Jika saya tidak berbuat demikian, mungkin dia akan terus berani memberi
komen negatif kepada orang atau artis lain pula. Saya harap pengikut
yang lain juga lebih menghormati hak dan privasi seseorang artis,"
ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Selasa.
Tauke berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakannya
membalas komen seorang individu yang menuduh dia sebagai 'kaki
perempuan' gara-gara memuat naik gambar bersama seorang wanita tidak
dikenali.
Perkara tersebut membuatkan pelawak itu berang dan membalas dengan
perkataan yang agak kasar sehingga menimbulkan rasa kurang senang
terhadap pengikutnya yang lain.
Dalam pada itu, Tauke berkata, dia berani menulis kata-kata kesat
berikutan individu yang menulis status itu tidak mendedahkan identiti
sebenar dirinya dan akaun itu diwujudkan juga adalah bertujuan
memburuk-burukan seorang artis.
"Saya tengok akaun dia memang akaun palsu yang sengaja dibuat untuk
mengutuk dan membuat fitnah sebab itu saya sengaja beri dia kata-kata
begitu.
"Kita sendiri tidak tahu individu itu siapa, jadi sesuai sangatlah dia
kena marah begitu, sebelum ini akaun yang sama juga selalu komen negatif
di Instagram artis-artis lain," ujarnya.
Sementara itu, Tauke menjelaskan bahawa wanita dalam gambar tersebut
merupakan salah seorang kru yang terlibat menjayakan program Super Spontan minggu lalu. -mStar