Kementerian Pertahanan menafikan dakwaan kononnya Malaysia
menawarkan kepada Amerika Syarikat untuk menjadi tuan rumah pesawat P-8A
Poseidon tentera laut negara itu yang berpangkalan di Sabah atau
Sarawak.
Sebelum ini wujud kenyataan daripada Ketua Operasi Tentera Laut Amerika
Syarikat, Jonathan W Greenert yang dipetik daripada majalah Sea Power
Magazine kononnya Malaysia berhasrat memberi kemudahan tersebut kepada
Amerika Syarikat.
Menterinya, Datuk Seri Hishamuddin Hussien Onn ketika di sidang
medianya di Lobi Parlimen sebentar tadi membidas kenyataan berkenaan,
sebagaimana yang turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bakri, Er Teck
Hwa semasa di sesi jawab lisan.
"Penting bahawa isu-isu sebegini tidak dipolemikkan dan disensasikan
kerana ia boleh menjejaskan persepsi orang ramai. Mengenai kenyataan
Greenert yang telah menyatakan P-8A Poseidon akan ditempatkan di Sabah,
namun saya maklumkan di Dewan bahawa ia tidak benar," ujarya kepada
pemberita.
Begitu juga di dalam isu latihan ketenteraan di antara Angkatan Tentera
Diraja Malaysia dan Tentera Pasifik Amerika Syarikat melalui Keris
Strike 2014 di dalam dan sekitar Kota Bharu dari 13-26 September lalu.
Hishamuddin sekali lagi membidas dakwaan beberapa pihak, termasuk
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang baru-baru ini merasakan ia
sebagai satu ancaman kepada negara.
"Jangan terikut-ikut dengan perkara yang belum dapat pengesahan dari pihak kita (kerajaan).
"Ia disalah tafsir dan tidak ada asas, perkara yang digembar-gemburkan
di sosial media. (Sedangkan) Ia bersandarkan perjanjian yang telah
dibuat dengan US begitu lama. Namun apabila ia digembar-gemburkan kerana
pendaratan mereka melalui Terengganu, saya ingin jelaskan bahawa ia
adalah satu latihan biasa," demikian menurutnya.
Memandangkan Malaysia bakal mempengerusikan Persidangan ASEAN tahun
depan, Hishamuddin berkata, adalah penting isu berkaitan keselamatan dan
kestabilan negara diurus dengan baik tanpa dicemari unsur-unsur
provokasi.
Sebelum ini terdapat desas-desus pesawat Boeing 777 mendarat di Lapang
Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu tersebar di laman sosial.
Pesawat dikatakan membawa seramai 300 orang askar Amerika itu tiba dari
Diego Garcia yang akan berpangkalan selama beberapa hari di Gua Musang
untuk latihan tentera.
Sementara itu, mengulas insiden kehilangan 28 jam bot tempur CB204
baru-baru ini, beliau memberitahu satu lembaga khas siasatan telah
ditubuhkan pasukan ketenteraan berkenaan.
"Saya sudah menerima laporan awal, ia banyak berkisar kepada faktor
cuaca seperti lautan bergelora dan masalah teknikal. Tetapi Panglima
Tentera Laut, Tan Sri Aziz memaklumkan kepada saya untuk satu lembaga
siasatan diwujudkan.
"Dan beliau telah arahkannya supaya kita dapat memastikan secara
terperinci punca kejadian dan kelemahan sekiranya ada berhubung insiden
berkenaan," katanya.
CB204 hilang di perairan Pulau Mengalum, kira-kira 30 batu nautika
dari Kota Kinabalu pada jam 11.15 pagi Ahad lalu selepas hilang
komunikasi dengan kapal pengiring KD Paus ketika dalam pelayaran ke
Terumbu Layang-Layang.
Lima kru bot berkenaan selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja
Malaysia (TLDM) di sini, tepat jam 12.50 tengah hari, semalam. -AntaraPos