LUMUT – Kerajaan Negeri Perak tidak akan berkompromi atau melindungi
mana-mana pihak termasuk ahli politik yang didapati terlibat dengan
kegiatan jenayah, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius dakwaan terdapat ahli politik di negeri ini terlibat kegiatan jenayah.
“Kerajaan negeri tidak pernah menyembunyikan apa-apa perkara kerana
soal keselamatan merupakan perkara yang serius,” katanya kepada
pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Deepavali Pembantu
Khas Menteri Besar Datuk V. Elango di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi bahawa terdapat ahli politik dipercayai dibiayai dengan
hasil pendapatan daripada pusat perjudian haram di tiga kawasan iaitu
Pekan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Pulau Kuala Sangga di Perak.
Berhubung laporan sebuah akhbar baru-baru bahawa kawasan perkampungan
Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Kuala Sangga di negeri ini dikuasai
kumpulan mafia yang melakukan pelbagai kegiatan jenayah, Zambry berkata
laporan itu perlu dibuktikan.
Semalam, Polis Perak menafikan dakwaan wujudnya kegiatan kumpulan mafia yang bermaharajalela di kawasan terbabit. – BERNAMA