Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah "Buta" Perlembagaan Parti?

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahan ketetapan Majlis Syura Ulama yang melarang seluruh jemaah dan ahli parti itu dari menyertai atau melibatkan diri dengan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).

Kata Abdul Hadi, beliau mempertahan ketetapan badan tertinggi PAS tersebut memandangkan terdapat aduan dari peringkat negeri yang menunjukkan terdapat salah laku di kalangan ahli pertubuhan tersebut yang memberi kesan buruk terhadap parti.

Presiden PAS itu mendedahkan bahawa ahli-ahli PasMa telah melancarkan kempen terhadap ahli PAS supaya tidak menghadiri mesyuarat parti dan pihaknya sedang menunggu laporan penuh mengenai aduan-aduan tersebut dari peringkat negeri.

"Itu kita kena dengar pengaduan dari mana-mana negeri. Majlis Syura Ulama buat kenyataan itu (keputusan melarang ahli PAS sertai PasMa) dan ikut fahaman saya kerana ada anggota PasMa yang berkempen supaya (ahli PAS) jangan pergi mesyuarat cawangan PAS.

"Ada (aduan) negeri dan sebab itulah Majlis Syura Ulama buat kenyataan itu. Kita akan tengok sejauh mana (tindakan)," katanya yang dipetik dari media arus perdana, baru-baru ini.

Lebih "pedas", Presiden PAS itu seolah-olah membayangkan penolakan yang jelas terhadap PasMa dengan mempersoal pertubuhan tersebut sebagai "spesis" yang tidak dikenali.

"Kita tak tahu lagi, kita pun tak tahu Pasma ini dari spesies mana," katanya menyindir pertubuhan yang kononnya membawa pembaharuan politik PAS, tapi sering memburuk-burukkan parti itu.

Abdul Hadi dalam kenyataannya turut membidas Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi, dan menyifatkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah itu sebagai gagal memahami perlembagaan parti berhubung kedudukan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat.

Phahrolrazi dan Ahli Parlimen (PAS) Shah Alam, Khalid Samad, sebelum ini mendakwa Majlis Syura Ulama tidak berhak membuat keputusan berhubung PasMa berbanding Jawatankuasa PAS Pusat.

Kata mereka, Jawatankuasa PAS Pusat merupakan badan eksekutif parti dan hanya badan itu yang layak menentukan pendirian parti berhubung keterlibatan ahli PAS di dalam PasMa.

Menurut perlembagaan PAS, Majlis Syura Ulama merupakan badan tertinggi yang berkuasa memutuskan dasar dan halatuju parti, manakala Jawatankuasa PAS Pusat pula merupakan badan eksekutif yang diberi tugas melaksanakan dasar atau ketetapan yang diputuskan badan tertinggi parti itu.

Presiden PAS itu turut menegaskan bahawa kedudukan Phahrolrazi dan Khalid yang mempertikai keputusan Majlis Syura Ulama PAS itu bergantung kepada aduan dari PAS di peringkat negeri.

Sehingga kini, Pesurujaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar dilihat masih berdiam diri meskipun Timbalannya terang-terangan mengepalai PasMa sebagai presiden pertubuhan tersebut. -Amir Hamzah/UtaraNews.com