Malaysia perlu mengambil peluang sebaiknya selepas berjaya
memperoleh kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengembalikan kelantangan semasa
zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Penganalisis Politik Tempatan dan Antarabangsa, Dr Maszlee Malik
berkata, Mahathir perlu memainkan peranannya membantu negara dalam
menyatakan pendirian terhadap Kumpulan Negara Islam (IS) yang menjadi
kebimbangan dunia.
“Sekarang ini kita sudah mendapat kerusi di UNSC, silalah kembalikan kelantangan seperti zaman Mahathir.
“Beliau boleh mainkan peranan di peringkat antarabangsa. Menjadi
suara kami.. menjadi suara umat Islam untuk menentang ketidakadilan,”
katanya pada Wacana Sinar Harian ke-32 bertajuk ‘Kumpulan Islamic State
(IS): Jihadis atau Militan?, di sini, semalam.
Dalam nada berseloroh, Maszlee berkata:
“Tun Mahathir pun, cukup-cukuplah serang Datuk Seri Najib. Tinggalkan kepada PR untuk buat kerja itu.”
Sementara itu, ketika diminta mengulas lanjut mengenai hujahnya itu,
Maszlee berkata, kerusi UNSC merupakan peluang besar yang boleh
dimanfaatkan negara sebagai wakil kepada seluruh manusia yang tertindas
di seluruh dunia.
“Ini (UNSC) satu peluang besar buat Malaysia bukan hanya menjadi
wakil negara tapi juga menjadi wakil kepada manusia yang tertindas di
seluruh dunia serta menjadi suara kepada golongan yang ditindas
berhadapan dengan kuasa-kuasa zalim.
“Juga menjadi suara kepada Islam kerana sedikit sebanyak kalau
Malaysia memainkan peranan yang aktif seperti Turki, ia akan beri
harapan kepada anak-anak muda bahawa kita konsisten dalam memperjuangkan
nasib orang-orang yang tertindas terutama umat Islam,” katanya.
Mengulas soal kedudukan bekas Perdana Menteri itu, Maszlee menambah,
Mahathir memiliki keistimewaan tersendiri serta dipandang tinggi oleh
pemimpin dunia.
“Sebenarnya keistimewaan Mahathir ialah kelantangannya. Di
peringkat antarabangsa suara beliau memang relevan dan beliau dilihat
tinggi oleh negara-negara luar.
“Kita berharap supaya hari ini sama ada Datuk Seri Najib (Perdana
Menteri) atau Menteri Luar (Datuk Seri Anifah Aman), gunakan peluang
atau kedudukan dalam UNSC untuk mengembalikan kelantangan pendirian
Mahathir,” katanya.
Menurutnya, pendirian itu meliputi segala keganasan yang berlaku di dunia terutama melibatkan negara Islam seperti di Syria.
“Isu Syria tak jelas apa pendirian kita. Sokong ke tak sokong Bashar
(Presiden Syria, Bashar Al-Assad) yang bunuh rakyatnya? Kenapa kita tak
kecam?
“Malah kita undang wakil Bashar untuk berucap pula. Mungkin ada yang akan kata ini bunyi pembangkang. Tidak.
“Ada (juga) pemimpin pembangkang yang duduk jumpa Bashar sekali. Ini apa cerita?” soalnya. – Sinar Harian