KUALA TERENGGANU – Tiada laporan polis akan dibuat oleh pendakwah dan
penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) susulan dakwaan penyebaran
video lucah dan gambar lucah di laman sosial yang mula tersebar sejak
awal pagi kelmarin.
Rakaman berdurasi 38 saat itu dikatakan mula tersebar melalui
beberapa blog, Facebook dan WhatsApp sehingga menjadi topik hangat.
Menurut sumber rapat kepada UAI, penceramah itu tidak akan membuat
sebarang laporan polis berhubung penyebaran video lucah itu yang
dianggap hanya niat jahat pihak tertentu untuk menjatuhkan imej beliau
dan golongan ulama di negara ini.
“Tiada laporan polis akan dibuat. Baik daripada pihak UAI sendiri atau pihak penyokong UAI,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten
Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi mengesahkan tiada
laporan diterima pihaknya sehingga semalam berhubung penyebaran video
dan gambar lucah berkenaan.
Sinar Harian semalam melaporkan, penyebaran video dan gambar lucah di
laman sosial yang kononnya mengaitkan pendakwah dan penceramah terkenal
merupakan niat jahat pihak tertentu untuk menjatuhkan golongan ulama di
negara ini. – SINAR HARIAN