"Umat Islam Cukup Tidak Selesa..."

Alor Setar - Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), Hj Mohd Yusof Din menyokong penuh tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menyekat tokoh gerakan liberal Islam di Indonesia, Dr Ulil Abshar Abdalla dari masuk ke Malaysia.

Mohd Yusof berkata, Ulil Abshar tidak wajar dibiarkan terlepas masuk ke negara ini ekoran fahaman liberalisme yang dibawa bersamanya itu mampu mempengaruhi dan memesongkan umat Islam di Malaysia dari agama Islam yang sebenar.

"Bila Ulil Abshar nak datang ke Malaysia maka orang yang melihat Islam ini perlu dijaga dengan sebaik-baiknya maka kita menentang.

"Kerana bagi kita, Ulil Abshar ini bukan atas individu itu, tetapi dengan dakyah (liberalisme yang dibawa)

"Kita cukup tidak selesa dengan cadangan untuk membawa Ulil Abshar", kata Mohd Yusof dalam satu sidang akhbar sempena Seminar Pendekatan Wasatiyyah: Peneraju Keluarga Seimbang, anjuran IWM bersama Kerajaan Negeri Kedah di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, kemunculan golongan liberalisme di Indonesia pada ketika ini cukup membimbangkan di mana pihak tersebut menggunakan istilah-istilah agama untuk menarik golongan muda untuk menyertai mereka.

Selain itu katanya, fahaman liberalisme yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar dan dilihat seolah-olah cukup mudah mampu menyebabkan anak-anak muda terpesong dari ajaran Islam yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

"Kita kebetulan ada hubungan baik dengan imam besar masjid Al-Istiqlal di Indonesia, Dr Ali Mustafa, beliau menyebut kepada saya kemunculan kelompok liberalisme dalam agama (Islam) di Indonesia cukup membimbangkan,

"Mereka telah menggunakan istilah agama dalam mendakyah liberalisme dala agama, mereka buat program-program menggunakan istilah 'muqayyam', 'iftar jamaa'ie' tapi menghimpunkan kumpulan liberalisme ini.

"Kalau mereka sudah menggunakan istilah agama untuk menyebarkan dakyahnya saya bimbang anak muda yang tidak kuat pegangan jati diri agamanya sudah tentu mereka akan terlibat dengan pengaruh ini.

"Mereka katakan mengapa perlu solat lima waktu sehari semalam, tonggang terbalik, hanya memadai sekadar niat semata-mata.

"Ini boleh tarik anak-anak muda kita.. yang jati dirinya kurang.. dia nak pergi syurga cepat, pergi jihad automatik boleh masuk syurga.. itu saya bimbang sangat," katanya lagi.

Disebabkan kebimbangan penularan fahaman liberalisme dalam Islam itu ke Malaysia, Mohd Yusof menekankan peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam mendidik dan menyemai semangat wasatiyyah di dalam diri anak-anak mereka.

Keluarga memainkan peranan utama dalam mendidik generasi muda menerusi konsep Wasatiyyan dari terjerumus dalam kegiatan ekstrimis dan liberalisme di Malaysia. -KedahNews.com