Vanidah Bengang Orang Cuba Runtuhkan Rumahtangganya...

Suami atau isteri mana yang tidak sakit hati dan bengang sekiranya kehidupan perkahwinan mereka yang tenang bahagia tiba-tiba menjadi "bahan" gosip beberapa pihak yang melaporkan kononnya mereka bakal bercerai.

Pasangan selebriti ideal, Vanidah Imran dan suaminya, Rashidi Ishak, merupakan mangsa terbaru tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

Dalam kenyataan Vanidah yang dipetik dari mStar, ibu kepada dua cahaya mata itu menafikan sekeras-kerasnya tohmahan yang dilemparkan berhubung kononnya berlaku keretakan rumahtangga mereka dan bakal berpisah.

"Sampai sekarang saya tidak tahu daripada mana datangnya gosip itu dan ia membuatkan saya cukup bengang.

"Tambah pula terdapat laporan di media yang membuat andaian kronologi mengenai 'keretakan' rumah tangga kami, ia sangat mengarut," kata Vanidah marah pada fitnah tersebut.

Gosip liar yang melanda "masjid" Vanidah dan Rashidi itu bukan pertama kali mereka alami memandangkan dakwaan yang serupa pernah berlaku terhadap mereka sekitar Januari 2011 dahulu.

Dituduh kononnya hadir ke mahkamah syariah bagi tuntutan penceraian, Vanidah dan Rashidi berjaya mematahkan cubaan untuk meruntuhkan rumahtangga mereka ketika itu.


Namun kali ini, hanya berdasarkan penglihatan mata kasar tentang mereka tidak lagi dilihat muncul bersama dalam beberapa majlis yang membabitkan pasangan suami isteri itu, maka Vanidah dan Rashidi ditubuh pula sudah berpisah.

Padahal, di sebalik tohmahan terbaru itu Vanidah menjelaskan bahawa dia dan suaminya tidak dapat hadir bersama ke majlis-majlis tertentu ekoran rasa tanggungjawab mereka bergilir-gilir menjaga anak-anak yang merupakan amanah dari Allah SWT.

"Kalau orang nampak saya seorang di mana-mana majlis, ertinya, suami jaga anak di rumah, dan begitu juga jika ada yang melihat suami tidak berteman di majlis, bermakna saya pula menjaga anak-anak.

"Rasanya perkara seperti ini tidak perlu dibuat penjelasan kerana mana-mana ibu-bapa yang tidak mempunyai pembantu rumah akan melakukan perkara sama seperti kami.

"Takkanlah, setiap malam saya perlu memuat naik foto kami di Instagram untuk membuktikan kami masih sebumbung?," soal Vanidah, kesal dengan tuduhan rambang itu.

KedahNews.com harap pasangan yang berkahwin pada 1 Oktober 2000 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Mikail Aimran, 11, dan Mariyam Rashika, 10, itu bersabar dengan ujian Allah itu dan terus beristiqamah dalam memastikan keluarga mereka terpelihara dari fitnah lagi selepas ini.

Sesungguhnya cerai itu merupakan perkara halal yang paling dimurkai Allah SWT, dan sebaiknya kita menhindari dari penceraian sebuah institusi keluarga Islam. Wallahu alam -KedahNews.com