Sebelum ini, ramai umat Islam di negara kita yang meradang marah ekoran insiden "gurauan" melampau membabitkan selawat ke atas junjungan besar, Rasulullah SAW.
Mungkin belum serik dengan gurauan yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini, kini muncul pula sebuah rakaman audio yang dimuat naik di laman sosial Youtube membabitkan gurauan "bertarannum rokok".
Lebih malang lagi, suara ber"tarannum rokok" rakaman tersebut yang dimuat naik pengguna dengan nama "firdaus mat noh" itu diyakini milik seorang lelaki yang beragama Islam.
Mendengar tarannum yang dialunkan lelaki itu, KedahNews.com berpandangan bahawa dia memiliki alunan lagu dan suara yang agak baik.
Namun menyedihkan, lelaki berkenaan lebih memilih untuk mempermainkan tarannum itu melalui aktiviti yang mampu mencetus kemarahan umat Islam di negara ini berbanding mengalunkan ayat suci Al-Quran.
Alangkah bagusnya jika lelaki itu mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran dan memuat naik ke dalam laman Youtube, sekurang-kurangnya dia akan dikurniakan pahala berlipat ganda sekiranya diizinkan Allah SWT, bukan?
Sekiranya umat Islam sendiri sanggup mempersenda alunan tarannum yang biasanya digunakan ketika mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran, apatah lagi golongan bukan Islam?
Mungkinkah melalui gurauan tidak wajar ini maka akan menggalakkan pihak bukan Islam lain untuk memburuk-buruk, memperlekeh dan mempersenda sensitiviti yang membabitkan agama Islam?
Dikala itu, sekiranya pihak berkuasa mengambil tindakan, ada pula yang kecoh menuduh mereka zalim dan tidak wajar mengawal "hak kebebasan" bergurau di internet.
Lebih buruk lagi jika ada pula pihak yang menangguk di air yang keruh dengan mempolitikkan isu seperti ini, bukan? Wallahu'alam. -KedahNews.com