Video: Saksikan Keunikan "Awang Batil" Dari Perlis!

HANYA tinggal lebih kurang dua bulan sahaja lagi sebelum Tahun Melawat Malaysia 2014 melabuhkan tirainya.

Jika anda masih belum berkesempatan untuk menjelajah negeri-negeri di serata Malaysia, apa kata cuba ke Perlis, negeri sebelah utara yang paling hujung dalam peta.

Banyak keistimewaan dan keunikan sama ada dari segi makanan, pemandangan serta seni dan budaya terdapat di negeri paling kecil di Malaysia ini.

Salah satu keunikan yang tak boleh didapati di negeri-negeri lain ialah persembahan kebudayaan Awang Batil.

Jika negeri Johor terkenal dengan kuda kepang, Kelantan dengan dikir baratnya, Melaka dengan dondang sayang, Pulau Pinang dengan boria, Perlis ada Awang Batil.

Memang unik dan persembahan tradisi ini patut dipertahankan agar ia tidak ditelan arus pemodenan.

Menurut satu-satu individu yang masih aktif menjayakan persembahan dan menjadi tenaga pengajar iaitu Romli Mahmud,59, Awang Batil merupakan penglipur lara yang hanya terdapat di Perlis Indera Kayangan.

awang batil

Pada asalnya, Awang Batil merupakan penglipur lara yang dikenali terlebih dahulu dengan nama Awang Belanga kerana menggunakan belanga sebagai muzik iringannya.

“Zaman dulu-dulu, Awang Batil akan mengembara dari kampung ke kampung dan dari rumah ke rumah untuk mempersembahkan cerita-cerita terutama di rumah-rumah kenduri kahwin.

“Dalam babak-babak tertentu, Awang Batil akan memakai topeng bagi menceritakan watak sama ada Hulubalang atau Ahli Nujum. 

“Topeng tersebut diperbuat daripada kayu yang biasanya disapu cat warna merah dan putih,” katanya ketika ditemui semasa Program Sahabat Media Visit Malaysia Year 2014 – Negeri Perlis, baru-baru ini.

Antara cerita yang lazimnya dipersembahkan adalah Raja Dewa Lok, Raja Bersiung, Raja Berdarah Putih, Anak Lang Pak Belang, Cerita Angan-Angan dan Awang Ada Duit Semua Jadi.

Kesemua cerita yang dipersembahkan selain memberi hiburan, turut diselitkan dengan bermacam-macam unsur nasihat buat penonton.

Kebiasaannya, persembahan Awang Batil dijayakan semasa majlis perkahwinan malah dianggap satu kemestian di kalangan orang Perlis suatu ketika dahulu.

Tidak hanya bercerita, Romli juga akan bermain alat muzik seperti serunai dan biola untuk memperkuatkan jalan ceritanya dengan unsur-unsur muzikal jadi penonton tidak berasa bosan dengan persembahan yang kebiasaannya mengambil masa sejam.

awang batil2
awang batil1

Menceritakan pengalamannya mempersembahkan Awang Batil di jalanan Kuala Lumpur awal tahun 2000, Romli mengatakan dia pernah dihulurkan duit oleh orang yang lalu-lalang.

Namun, disebabkan kecintaan dan minatnya yang tinggi terhadap seni Awang Batil, Romli tidak menyukai tindakan sesetengah pihak yang menganggapnya bagai peminta sedekah.

“Saya tak suka orang bagi duit kerana saya main sebab minat sebagai seniman jalanan,” katanya yang pernah terbang ke Switzerland, Jepun dan Singapura bagi memenuhi jemputan membuat persembahan.

Ditanya mengenai kelangsungan seni Awang Batil di kalangan orang muda, Romli mengatakan hanya dia sahaja masih gigih memperjuangkannya dan merupakan satu-satu tenaga pengajar yang mengajar kokurikulum tersebut di tiga buah sekolah terpilih di Perlis.

“Selagi ada permintaan, selagi itulah Awang Batil akan ada,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kepupusan seni lama yang semakin dilupakan orang muda kini.

awang batil4

Mengenai warisan Awang Batil yang akan diperturunkan, Romli mengatakan buat masa ini dia tidak mendedahkan anak-anaknya dengan seni tersebut kerana mahu mereka menamatkan pengajian terlebih dahulu sebelum melibatkan diri secara serius seperti dirinya.


Sumber: Mynewshub.my