Video:Anggota Keselamatan Didakwa Rogol Wanita Baru Habis Pantang

Mungkin benar dakwaan yang mengatakan bahawa jenayah dan akhlak buruk itu tidak mengenal jawatan, usia atau pakaian seragam yang dipakai oleh seseorang manusia.

Bila nafsu serakah dan sifat syaitan menguasi diri, seseorang itu mampu bertindak ganas, jijik dan melampaui batas-batas kemanusiaan.

Baru-baru ini kecoh diperkatakan mengenai satu kes jenayah jijik yang melaporkan tentang seorang wanita warga Filipina yang dirogol oleh beberapa anggota keselamatan beruniform di Sandakan, Sabah.

Menurut laporan, wanita yang tidak memiliki pengenalan diri itu dipaksa untuk melakukan hubungan seks oleh anggota-anggota keselamatan berkenaan sekitar jam 1 pagi sekiranya tidak mahu ditahan pihak berkuasa.

Menurut sumber lagi, beberapa anggota pasukan keselamatan tersebut telah ditahan selepas mangsa membuat laporan polis atas kejadian itu.


Sebuah video yang menceritakan tentang perkara jijik itu menjelaskan bahawa wanita yang dirogol itu baru selesai pantang selepas dua bulan melahirkan bayi dan masih menyusu bayinya.

Lebih buruk lagi, suspek-suspek yang dikatakan merogol wanita itu turut merampas telefon bimbit dan wang mangsa meskipun hanya berjumlah RM60 sahaja.

Mungkin selepas ini ada yang pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan menyalahkan beberapa pasukan keselamatan negara atau Kementerian Dalam Negeri atas perbuatan terkutuk beberapa anggota keselamatan tersebut.

Namun seperti dinyatakan di atas, KedahNews.com berpandangan bahawa kes melibatkan jenayah oleh individu seperti ini tidak mengenal pakaian seragam, serban dikepala atau kemeja lengan panjang bertali leher.

Jenayah atau buruk laku seseorang itu adalah berdasarkan hati, keperibadian dan akhlak dirinya sendiri, bukan? Pakaian hanyalah sekadar "kosmetik"... -KedahNews.com