Wukuf di Arafah adalah rukun haji
yang terpenting bagi menentukan sahnya ibadah haji. Tanpa wukuf, ibadah haji
akan menjadi sia-sia kerana Rasulullah SAW yang ditanya mengenai ibadah haji
bersabda, haji itu adalah Arafah (wukuf di Arafah).
Sejarah berbeza pendapat
berkaitan nama Arafah di mana ada yang berpendapat perkataan Arafah berasal
daripada pertemuan kembali Nabi Allah Adam dan isterinya, Hawa, yang diturunkan
ke bumi berasingan dan akhirnya bertemu kembali di lembah yang dikenali
sekarang Padang Arafah.
Ada juga yang menyatakan ia
berasal daripada peristiwa pertemuan Nabi Ibrahim dengan isterinya Siti Hajar
dan anaknya, Nabi Ismail, yang lama berpisah. Ada juga berpendapat perkataan
Arafah adalah hasil pemahaman Nabi Ibrahim menghayati perintah Allah SWT yang
tersirat dalam mimpinya untuk menyembelih puteranya, Nabi Ismail.
Hari Tarwiyah
Hari wukuf di Arafah juga
dikenali sebagai hari Tarwiyah yang bermaksud Hari Renungan di mana Nabi
Ibrahim sentiasa merenung dan mengimbas kembali mimpinya yang berturut-turut,
akhirnya Baginda memahami maksud mimpi itu.
Ada pula kisah mengatakan Nabi
Ibrahim telah diajar oleh Malaikat Jibril cara menunaikan manasik haji di situ.
Apabila selesai, maka Jibril bertanya: "Adakah engkau tahu?" Maka
jawab Ibrahim: "Ya, aku tahu."
Bolehlah diertikan bahawa di
Arafah, manusia mengenali Tuhannya dan mereka datang ke tempat itu untuk
mengakui dosanya serta memohon keampunan. Justeru, apa juga ibadah pada hari
itu tidak diragukan kerana ia hari yang dibanggakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.
Arafah antara hari yang
dimuliakan oleh Allah SWT kerana ketika itulah berkumpulnya semua jemaah haji
dalam keadaan penuh khusyuk mengabdikan diri kepada-Nya. Mereka menadah tangan
berdoa supaya dosa mereka diampunkan dan segala amalan diterima di sisi Allah
SWT.
Arafah adalah peluang terbaik
untuk menumpukan sepenuh hati ibadah kita kepada Allah SWT kerana Padang Arafah
antara tempat yang paling mustajab doa. Jemaah haji juga sentiasa menghabiskan
masa membaca al-Quran, berwirid, berzikir, solat sunat dan bermuhasabah diri.
Rasulullah SAW bersabda:
"Tiada hari-hari yang dilakukan amal soleh padanya lebih dicintai Allah daripada 10 hari pertama dari bulan Zulhijah". Mereka (sahabat) bertanya: "Wahai Rasulullah, bukankah berjihad di jalan Allah lebih utama darinya?" Baginda SAW bersabda: "Bukanlah berjihad di jalan Allah itu lebih utama darinya, kecuali seseorang yang berjuang dengan dirinya dan hartanya, lalu ia kembali dengan tangan yang kosong tiada ganjaran." (Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah)
Ganjaran haji tanda berjihad
Ini menunjukkan ganjaran haji
mestilah diperoleh sebagai tanda seseorang itu benar-benar berjihad di jalan
Allah SWT. Kemuliaan 10 Zulhijjah telah diakui Baginda SAW dalam sabdanya:
"Tidak ada hari yang lebih mulia di sisi Allah, dan tidaklah paling disukai Allah di dalamnya melainkan dari hari yang sepuluh, maka perbanyakkan tasbih, tahmid, tahlil dan takbir." (Riwayat Tabrani )
Segala perkara dan pelaksanaan
ibadah adalah berpandukan firman Allah SWT yang bermaksud:
"Kemudian bertolaklah kamu dari tempat bertolaknya orang ramai (Arafat) dan mohonlah ampun kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Baqarah ayat 199)
Kedudukan wukuf di Arafah pada
sisi Allah SWT adalah suatu amalan yang sangat besar impaknya kerana suasana
perhambaan amat jelas. Justeru, mereka berhak mendapat kelebihan daripada Allah
SWT. Kekuatan ibadah dalam wukuf dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT serta
dimanfaatkan oleh orang lain.
Ulama bersepakat ibadah wukuf di
Arafah telah ditentukan dengan masa dan waktu yang jelas iaitu pada hari
kesembilan Zulhijjah setiap tahun. Ia bermula daripada waktu gelincir matahari
(Zuhur) sehingga sebelum waktu fajar (Subuh) pada hari kesepuluhnya. Saban
tahun umat Islam menghadiri perhimpunan ini bagi mengingati perhimpunan
dihadiri Rasulullah SAW dan menyampaikan amanat kepada umatnya.
Mereka seolah-olah berada dalam
kelompok manusia yang membanjiri padang Arafah untuk sama-sama menjiwai cara
ibadah haji dilaksanakan Baginda SAW yang dikenali sebagai Hajjatul Wada' atau
haji terakhir dihadiri lebih daripada 124,000 sahabat.
Di situlah Allah SWT menurunkan
ayat mengenai selesainya urusan agama Islam dan penerimaan terhadap wadah yang
dibawa Baginda SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, telah Kucukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Kuredai Islam itu jadi agama bagimu." (Surah al-Maidah, ayat 3)
Khutbah wada' di kaki Jabal Rahmah
Baginda SAW menyampaikan khutbah
wada' di kaki Jabal Rahmah memberi peringatan, nasihat dan amanat kepada jemaah
haji mengajak mereka berpegang kepada agama Allah SWT dengan cara yang sebenar
serta menyatakan kerugian akibat perpecahan sesama sendiri.
Baginda SAW turut menjelaskan
dasar agama Islam, menghapuskan ciri-ciri kesyirikan dan jahiliah, menyatakan
mengenai kehormatan darah manusia, harta dan maruah serta kewajipan
mempertahankan ketiga-tiganya.
Baginda SAW juga menegaskan
pengharaman riba, selain memberi amanat dan wasiat kepada suami supaya
memelihara isteri di samping menyatakan tanggungjawab, hak yang perlu
dilaksanakan untuk kebaikan mereka serta tanggungjawab perlu ditunaikan isteri
terhadap suami mereka.
Bagi yang tidak berkesempatan untuk
menunaikan haji dianjurkan berpuasa pada hari jemaah berwukuf kerana peluang
daripada Allah SWT sentiasa diberikan kepada mereka yang berada jauh di ufuk
dunia. Hari itu antara hari digemari oleh isteri Baginda SAW, Aisyah.
Rasulullah SAW telah ditanya
mengenai puasa hari Arafah. Rasulullah SAW bersabda:
"Diampunkan dosa setahun lalu dan setahun akan datang." (Riwayat Muslim, Tarmizi, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi)
Sumber : Berita Harian