BAITULMUQADDIS – Penduduk Palestin bertempur dengan polis Israel di
sini semalam selepas pihak berkuasa mengehadkan kemasukan orang Islam ke
pekarangan Masjid Al-Aqsa, kata polis rejim Zionis.
Jurucakap polis, Luba Samri berkata, empat penduduk Palestin
ditangkap manakala tiga anggota polis Israel cedera dalam konfrontasi
tersebut.
Polis menggunakan grenad renjatan bagi menyuraikan 400 orang yang
berhimpun dekat pintu masuk masjid berkenaan, menurut seorang jurugambar
agensi berita AFP.
Pihak berkuasa Israel hanya membenarkan warga Palestin berusia lebih
50 tahun memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa. Perintah itu dikuatkuasakan
untuk kali kedua sejak seminggu lalu.
Pada Isnin lalu, penduduk Palestin bertempur dengan polis Israel
selepas waktu subuh kerana berang orang Yahudi diberi kebenaran untuk
memasuki pekarangan tersebut.
Masjid Al-Aqsa merupakan tempat ketiga paling suci untuk orang Islam.
Lokasi itu yang menempatkan Masjid Kubah Emas dan Masjid Al-Aqsa
kerap mencetuskan situasi tegang antara penduduk Palestin dan pihak
berkuasa Israel.
Pekarangan masjid itu juga didakwa menempatkan kuil Yahudi dan dianggap tempat paling suci bangsa Yahudi.
Kunjungan orang bukan Islam ke pekarangan Masjid Al-Aqsa dibenarkan
dan diselaraskan oleh polis Israel tetapi orang Yahudi dilarang
beribadat di tempat itu kerana bimbang boleh mencetuskan kemarahan umat
Islam.
Mereka sebaliknya beribadat di bahagian bawah pekarangan masjid tersebut yang dikenali sebagai Tembok Barat.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Keselamatan Awam Israel,
Yitzhak Aharonovitch kelmarin mengugut untuk menutup keseluruhan
pekarangan Masjid Al-Aqsa jika orang Islam dan bangsa Yahudi tidak dapat
beribadat secara aman.
“Kami mahu pekarangan Masjid Al-Aqsa dibuka untuk orang Islam dan
Yahudi tetapi jika bangsa Yahudi tidak dapat memasukinya, orang Islam
juga tidak akan dapat memasukinya,” kata Aharonovitch. – AFP