GEORGE TOWN – Polis menahan 20 wanita warga asing yang dipercayai
pelayan pelanggan (GRO) dan lima individu dipercayai tonto selepas
menyerbu tiga pusat hiburan di Mindlands Park, Pulau Tikus di sini awal
hari ini.
Pusat terbabit yang beroperasi dengan menawarkan khidmat GRO telah diserbu beberapa kali sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata
pemeriksaan yang bermula pukul 1 pagi itu mendapati 17 daripada wanita
terbabit adalah warganegara China manakala selebihnya warga Vietnam yang
menyalahgunakan pas lawatan sosial, permit kerja dan tidak mempunyai
dokumen pengenalan diri.
“Semua wanita warga asing itu berumur antara 23 sehingga 40 tahun itu
cuba meloloskan diri, namun gagal selepas polis mengepung kawasan
berkenaan. Semua mereka dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut,”
katanya di sini hari ini.
Mior Faridalatrash berkata dalam operasi itu pihaknya turut menahan
lima individu dipercayai tonto yang menyalurkan maklumat kepada
pengusaha pusat hiburan terbabit berhubung pergerakan anggota polis.
“Lima tonto ini selain dipercayai menjadi ‘mata-mata’ kepada pusat
hiburan terlibat, mereka juga cuba mengganggu tugas polis untuk
melakukan serbuan,” katanya.
Tambahnya, melalui serbuan di bawah Ops Noda itu, polis turut
memeriksa 42 pelanggan pusat-pusat hiburan terbabit yang merupakan warga
tempatan terdiri daripada 32 lelaki dan 10 orang wanita.
Katanya mereka dibawa ke IPD Timur Laut untuk saringan ujian air kencing dan proses dokumentasi. – BERNAMA