200 Wanita Termasuk 80 Pelajar Dirogol Hanya Kerana Seorang Tentera

Lebih 200 wanita termasuk 80 pelajar sekolah di sebuah kampung di Utara Darfur telah dirogol oleh tentera Sudan dalam tempoh lapan jam selepas salah seorang daripada rakan pasukan mereka tersebut hilang. 

Kejadian terkutuk itu berlaku pada Jumaat malam dan ia berkesudahan sehingga pukul 4 pagi Sabtu.

Salah seorang penduduk di kampung itu memberitahu Radio Dabanga bahawa mereka terkejut selepas dikepung oleh tentera terbabit.

“Mereka memukul penduduk dengan senapang dan menghalau semua kaum lelaki dari kampung tersebut.

“Mereka kemudiannya merogol 200 wanita dan kanak-kanak selama lapan jam,’’ katanya dalam pendedahan yang mengejutkan ini.

Sebelum itu, katanya, pasukan tentera tersebut datang ke kampung berkenaan dan mencari salah seorang anggota yang hilang itu.

“Lebih malang apabila mereka menghalang kami membawa penduduk yang cedera untuk rawatan,’’ katanya.

Dia juga memberitahu komander pasukan tentera itu kemudiannya mengaku bahawa anggotanya telah melakukan jenayah rogol beramai-ramai dan memohon maaf kepada mangsa rogol serta penduduk yang dipukul.

Komander tersebut juga memberitahu anggotanya yang hilang itu ditemui di sebuah kampung lain.

Bagaimanapun penduduk menolak permohonan maaf itu dan mahu mereka yang terlibat dalam jenayah terkutuk itu dibawa ke muka pengadilan. -Agensi