BANGKOK – Jika di Indonesia, rakyatnya biasa dengan simbol salam 3
jari yang dipopularkan Presiden Joko Widodo atau mesra disapa Jokowi
yang membawa maksud ‘Persatuan Indonesia’ iaitu prinsip ketiga rukun
negara ideologi Pancasila Indonesia.
Namun lain pula hal di Thailand, gara-gara menunjukkan salam 3 jari,
lima pelajar ditahan pihak tentera semasa lawatan Perdana Menteri,
Prayut Chan-O-Cha ke wilayah kubu kuat pembangkang atau dikenali
pergerakan Baju Merah di Khon Kaen semalam.
Pemerintah polis wilayah timur laut Thai itu, Jitjaroon Srivanit
berkata, beberapa pegawai kerajaan segera membawa keluar kumpulan
pelajar tersebut dari kawasan perhimpunan semasa Prayut berucap dengan
penduduk pada program ‘turun padang’ kali pertama itu.
Mereka cuba mengibarkan baju T memaparkan ayat ‘Tolak rampasan kuasa’
dalam bahasa Thai dan menunjukkan salam 3 jari dipetik dari filem
terkenal Hollywood, The Hunger Games merujuk simbol popular bermaksud menentang pemerintahan rejim junta tentera.
“Lima pelajar ini diserahkan kepada pegawai polis tempatan dan kami
menyerahkan mereka kepada pihak tentera di sebuah kem askar berdekatan
untuk tindakan selanjutnya kerana ia bukan kes jenayah tetapi lebih
kepada tindakan berbaur antitentera,” kata Jitjaroon.
Peguam hak asasi manusia, Sasinan Thamnithinan berkata, tentera
memberi pilihan kepada pelajar terbabit menandatangani akujanji tidak
terlibat aktiviti politik pembangkang atau dibuang fakulti undang-undang
Universiti Khon Kaen, tempat pengajian mereka.
Prayut merampas kuasa daripada Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra
pada Mei lalu bagi menamatkan pertempuran jalanan hampir tujuh bulan
antara Baju Merah yang menyokong bekas pemimpin Thaksin, abang Yingluck
dengan penentangnya, Baju Kuning. – Agensi
Berbeza dengan salam 3 jari di Indonesia yang dipopularkan Presiden Jokowi, rakyat Thailand pula dilarang menunjukkan salam 3 jari yang membawa maksud menentang pemerintahan junta tentera. – Gambar hiasan |