Gambar Hiasan |
ALOR SETAR – Enam buah gerai makan di sebuah medan selera berhampiran Pasar Besar di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Sehubungan itu, polis sedang mengesan suspek yang dipercayai
menyebabkan kebakaran itu dan dalam masa sama akan menyiasat sama ada
kejadian itu berkait dengan penemuan cebisan Al-Quran yang ditemui
dibakar di kawasan medan selera yang sama pada Khamis lalu.
Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata kejadian
berlaku pada pukul 1.52 pagi tadi dan disedari anggota polis yang sedang
membuat rondaan mencegah jenayah di sekitar kawasan tersebut.
“Anggota polis yang membuat rondaan telah melihat kebakaran yang
berlaku di kawasan medan selera tersebut sebelum memaklumkan kepada
pihak bomba mengenai kejadian tersebut. Pemilik gerai dinasihatkan
membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zakaria berkata pihaknya masih belum mengetahui punca kebakaran
kerana tiada saksi yang berada di tempat kejadian semasa kebakaran itu
berlaku.
“Kita masih belum mengetahui punca kebakaran tetapi kita minta pihak
bomba jalankan siasatan dan sekarang menunggu laporan forensik daripada
bomba untuk mengetahui punca sebenar kebakaran.
"Kita telah kenal pasti
suspek dan akan jalankan tangkapan segera untuk membantu menyelesaikan
kes ini,” katanya.
Beliau meminta masyarakat supaya tidak membuat spekulasi dan
bertindak sendiri kerana bimbang akan berlaku pergaduhan, dan pihak
polis tidak memandang ringan kes itu, malah akan teruskan siasatan untuk
selesaikan kes itu secepat mungkin.
Sementara itu, Zakaria berkata lelaki yang ditahan berhubung kes
cebisan Al-Quran yang dibakar pada Khamis lalu masih berada di Hospital
Sultanah Bahiyah (HSB) di sini bagi menjalani rawatan berikutan
dipercayai mempunyai masalah mental.
“Lelaki yang ditahan itu sedang dalam rawatan di HSB dan memang
mempunyai rekod rawatan berkaitan sakit mental. Jadi kita akan siasat
lebih lanjut untuk pastikan sama ada dia membakar cebisan al-Quran
secara sengaja atau tidak,” katanya.
Seorang daripada peniaga di medan selera itu, Goh Wing Keng, 53, yang
telah berniaga di medan selera tersebut selama lebih 20 tahun berkata
dia terkejut apabila mendapati gerainya terbakar ketika hendak membuka
gerainya pada pagi tadi.
“Pagi tadi masa hendak buka gerai berniaga saya terkejut apabila
tengok gerai saya sudah terbakar dan sedih kerana tidak dapat berniaga.
Saya sudah buat laporan polis,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Poh Tan Cheng, 72, pula berkata dia menerima
panggilan sekitar pukul 5 pagi daripada rakannya yang memaklumkan bahawa
gerainya terbakar sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Saya terkejut tengok gerai musnah dan sedih sangat kerana saya sudah
lama berniaga mi di sini dan sekarang saya terpaksa menghentikan jualan
sementara.
Saya sudah buat laporan polis dan saya harap siasatan dapat dijalankan dengan segera,” katanya. – BERNAMA