8 Hutan Lipur Kedah Selesai Diwarta #HanyaDiKedah

Hutan lipur Lata Mengkuang, Sik.
ALOR SETAR - Lapan dari 27 kawasan hutan lipur di negeri ini selesai diwartakan selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Kedah meminta Jabatan Perhutanan Negeri memberi keutamaan kepada proses tersebut berikutan kali terakhir ia dilakukan adalah pada 38 tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Azmi Che Hussein berkata, proses  itu siap dilaksanakan bulan lalu dan kini tujuh lagi kawasan hutan lipur masih dalam proses mendapatkan surat pewartaan, dijangka diperoleh selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Menurutnya, mereka menyasarkan kesemua hutan lipur akan siap diwartakan secara berperingkat menjelang tahun depan.

“Usaha itu untuk memudahkan proses menaiktaraf sekali gus dapat menarik bilangan pengunjung ke negeri ini menjelang Tahun Melawat Kedah 2016 kelak.

“Peruntukkan membaik pulih kawasan itu bergantung kepada lokasi, ada dikeluarkan kerajaan negeri, kerajaan pusat dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Azmi berkata, antara kawasan terlibat dalam proses pewartaan ialah Hutan Lipur Bukit Wang, Puncak Janing, Sungai Rambai, Sungai Teroi, Tupah, Lata Mengkuang, Lata Bayu dan Ulu Paip.

Ogos lalu, beliau berkata, lapan hutan lipur dikenal pasti ditutup atas faktor keselamatan pengunjung, jalan perhubungan kurang memuaskan, bilangan pengunjung berkurangan serta peruntukan tahunan yang semakin berkurangan.

Menurutnya, lapan hutan lipur ini ialah Tasik Pedu (tahap keselamatan rendah), Lata Hujan Lebat (kawasan curam dan aspek keselamatan), Lata Lembu (kemudahan tidak lengkap), Sungai Kunyit (jalan perhubungan), Sungai Badak (jalan perhubungan), Gurun Kuari (lubuk yang dalam), Durian Perangin (kemudahan tidak lengkap) serta Lubuk Semilang (kemudahan tidak lengkap).

Sehubungan itu, Jabatan Perhutanan perlu melakukan tindakan segera agar hutan lipur berkenaan tidak menjadi projek gajah putih.

Laporan Ketua Audit ada menyebut kemudahan di hutan lipur terbiar dan tidak diguna pakai seperti dirancang. Sementara menunggu penilaian audit seterusnya, Unit Integriti akan buat pemantauan dari semasa ke semasa.

Azmi berkata, terdapat di mana kerajaan negeri mengalami kerugian apabila perjanjian kontrak tidak dikuatkuasakan antaranya melibatkan pengurusan hutan lipur di negeri ini.

Sumber: Sinar Harian