Pek Nyen menunjukkan gambar kenangan bersama suaminya. |
KOTA KINABALU – Pengusaha ikan dalam sangkar, Chan Sai Chiun diberi
tempoh selama 20 hari lagi walaupun kumpulan penculik Abu Sayyaf
mengancam untuk memenggal kepalanya pada Ahad sekiranya wang tebusan
sebanyak RM3 juta tidak dibayar.
Isterinya, Chin Pek Nyen berkata polis memaklumkannya bahawa kumpulan
penculik tersebut memberi tempoh selama 20 hari lagi kepada pihak
berkuasa untuk memenuhi permintaan tersebut.
“Mereka berjaya memujuk penculik tersebut untuk diberikan lebih
banyak masa bagi mendapatkan wang untuk pembebasan suaminya,” kata Pek
Nyen pada Sabtu.
Namun, wanita berusia 42 tahun itu berkata penculik masih enggan
membenarkan dia bercakap dengan suaminya dan berjanji hanya akan berbuat
demikian dalam masa beberapa hari lagi.
“Kali terakhir saya bercakap dengan suami saya adalah empat bulan lalu dan saya teringin sangat mendengar suaranya.
“Saya berharap mreka akan terus menunaikan janji dan membenarkan saya
bercakap dengan suami dalam masa beberapa hari lagi,” kata Pek Nyen.
Sai Chiun diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata warga Filipina di
kolam ternakan ikan miliknya pada pukul 12.45 tengah malam, 16 Jun
lalu.
Seorang lagi warganegara Malaysia, Konstabel Zakiah Aliep yang juga
anggota Pasukan Polis Marin (PPM) pula diculik sekumpulan lelaki
bersenjata pada 12 Julai lalu ketika membuat meronda di sebuah resort di
Pulau Mabul, Semporna.
Mereka masih lagi ditahan oleh kumpulan bersenjata itu di Jolo, selatan Filipina. – mStar