Dunia Islam telah melahirkan ramai ahli falsafah yang hebat. Namun
begitu, falsafah Islam tetap dianggap sebagai satu kelompok yang hilang
dalam sejarah pemikiran manusia. Maka tidak hairanlah, sejarah lebih
mengenali tokoh-tokoh falsafah Yunani dan barat jika dibandingkan dengan
ahli falsafah Islam.
Walaupun beberapa tokoh falsafah Islam seperti al-Kindi, al-Farabi,
dan Ibn Sina mendapat pengiktirafan dari Barat, tetapi mereka tidak
mendapat tempat yang sewajarnya jika dibandingkan dengan ahli falsafah
Yunani seperti Plato dan Aristotle.
Kajian-kajian mengenai tokoh
berkenaan masih belum memadai dan jauh daripada memuaskan.
Walaupun para
sarjana, ilmuwan, dan ahli falsafah Islam telah menghasilkan sejumlah
karya-karya yang besar tetapi kebanyakan tulisan mereka belum
diterjemahkan.Tidak kurang juga yang musnah disebabkan oleh peperangan
dan penaklukan yang dilakukan oleh kuasa asing.
Malahan kajian yang
dibuat terhadap pemikiran falsafah beberapa tokoh terkenal seperti Ibnu
Rusyd tidak diberikan penilaian yang adil. Kajian dan terjemahan yang
dibuat oleh S.Van den Berg terhadap kitab "Lima Baida al-Thaan", tulisan
Ibnu Rusyd mengenai metafizik misalnya tidak mendapat sorotan yang
meluas wahal kajian tersebut dapat membantu kita memahami dan mendekati
pemikiran ahli falsafah itu dengan lebih mendalam lagi.
Begitu juga dengan pemikiran falsafah Ibn Tufail tidak banyak
diketahui oleh umat Islam sendiri.
Ibn Tufail yang lahir pada tahun 1106
Masihi di Asya, Granada lebih dikenali sebagai ahli hukum, perubatan,
dan ahli politik yang handal.
Semasa pemerintahan al-Mu'min ibn Ali, Ibn
Tufail atau nama asalnya, Abu Bakr Muhammad ibn Abdul Malik ibn
Muhammad ibn Muhammad ibn Tufail al-Qisi pernah dilantik sebagai
pembantu gabenor Wilayah Sabtah dan Tonjah di Maghribi.
Beliau juga
pernah menjadi doktor peribadi kepada pemerintah al-Muwahidin, Abu
Ya'kub Yusuf. Selepas bersara, tempatnya digantikan oleh anak muridnya
iaitu Ibnu Rusyd.
Semasa hayatnya, Ibn Tufail pernah dilantik sebagai
menteri dan merupakan ahli politik yang dihormati oleh pihak pemerintah. Selain itu, beliau juga melibatkan dirinya dalam bidang pendidikan,
pengadilan, dan penulisan.
Walaupun Ibn Tufail dikatakan telah menulis
banyak buku tetapi hanya sebuah sahaja kitab yang diwariskan kepada
generasi umat Islam hari ini. Kitab itu ialah "Hay ibn Yaqzan" yang
memuatkan pandangannya secara umum, dengan gaya bahasa yang menarik dan
imiginasi yang indah.
Buku ini dianggap sebagai warisan paling unik yang
ditinggalkan oleh seorang ahli falsafah Islam. Buku ini kemudiannya
diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai bahasa dunia.
Yang menarik dalam
buku itu, Ibn Tufail berusaha menerangkan bagaimana manusia mempunyai
potensi untuk mengenali Allah. Katanya, semua ini dapat dilakukan dengan
membuat penelitian terhadap alam sekitar dan sekelilingnya.
Menerusi buku itu, Ibn Tufail cuba merangka satu sistem falsafah
berdasarkan perkembangan pemikiran yang ada pada diri manusia. Beliau
berusaha mengungkap persoalan serta hubungan antara manusia, akal, dan
Tuhan.
Untuk itu, beliau telah menggunakan watak Hayibn Yaqzan yang
hidup di sebuah pulau di Khatulistiwa sebagai gambaran percampuran empat
unsur penting dalam kehidupan iaitu panas, sejuk, kering, dan basah
dengan tanah.
Watak itu hidup terpencil dan dapat mempertahankan
kelangsungan hidupnya dengan pimpinan akal dan bantuan pancaindera.
Langkah Ibn Tufail menggunakan analog! watak tersebut dalam bukunya
dianggap sebagai suatu perkara yang luar biasa dalam penulisan karya
yang berbentuk falsafah.Watak itu tidak pernah mengenali kedua-dua ibu
bapanya.
Tetapi alam telah memberinya seekor kijang yang menyusu dan
memberinya makan. Setelah dewasa, dia mengarahkan pandangannya terhadap
perkara yang ada di sekelilingnya. Di sini dia mulai membahaskan tentang
kejadian dan rahsia perubahan yang berlaku disekelilingnya.
Pada
anggapannya di sebalik alamnya terdapat sebab-sebab yang tersembunyi
yang mentadbir dan membentuknya.
Hay bin Yaqzan selalu membahas dan
menganalisa sesuatu perkara sehingga dia mampu mengetahui bahawa
kebahagian dan kesengsaraan manusia itu bergantung kepada hubungannya
dengan Allah. Dengan watak "Hay" itu, Ibn Tufail berjaya membuat huraian
yang menarik sekaligus membantu kita memahami pemikiran falsafahnya.
Buku itu juga mengandungi pengamatan Ibn Tufail mengenai ilmu
metafizik, matematik, fizik, dan sebagainya. Ibn Tufail melihat alam ini
sebagai baru dan ditadbir oleh Tuhan yang satu dan berkuasa penuh.
Dalam diri manusia pula terdapat roh yang menjadi sumber dan asas
kehidupan mereka di muka bumi ini.
Falsafah Ibn Tufail bukan sekadar
menyentuh perkara yang berkaitan dengan metafizik tetapi juga sains
tabii seperti fizik. Ibn Tufail mendapati bahawa lapisan udara yang
tinggi lebih sejuk dan nipis daripada lapisan yang rendah.
Hal ini
disebabkan kepanasan berlaku di permukaan bumi bukannya di ruang dan
lapisan udara.Beliau juga mendapati bahawa kepanasan boleh dihasilkan
melalui geselan, gerakan cahaya sama ada daripada apt ataupun matahari.
Meskipun pandangan itu dianggap sebagai satu perkara yang biasa pada
hari ini tetapi pandangan ini sebenarnya telah menyediakan landasan
kepada ahli sains untuk melakukan kajian terhadap kepanasan dan segala
fenomena yang berkaitan dengannya.
Pemikiran falsafah Ibn Tufail juga
meliputi perkara yang berhubung dengan masyarakat. Beliau menyifatkan
masyarakat terdiri daripada sebahagian besar anggota-anggota yang malas.
Lantaran itu, mereka mudah terpengaruhi dan terikut-ikut dengan nilai
yang sedia ada tanpa mahu memperbahaskannya.
Ibn Tufail hidup hampir sezaman dengan Ibnu Bajjah. Maka sebab itu
beliau mudah menerima pandangan falsafah Ibnu Bajjah, al-Farabi, dan
beberapa ahli falsafah Islam yang lain dengan baik.
Menurut sesetengah
pengkaji dan pemikir, Ibn Tufail banyak dipengaruhi oleh falsafah Ibnu
Bajjah sebagaimana yang dapat diperhatikan pada pertengahan buku Hay bin
Yaqzan yang banyak membawa saranan yang terdapat dalam kitab
"al-Mutawwahid".
Dalam buku itu, Ibnu Bajjah telah melakukan pembelaan
terhadap tulisan-tulisan al Farabi dan Ibnu Sina.Namun begitu, Ibnu
Tufail tidak menerima sarangan itu bulat-bulat melainkan selepas
dibahaskan secara kritis. Selain itu beliau seorang yang berpegang
kepada logik dalam mengungkap realiti alam dan kehidupan manusia.
Barangkali bertitik tolak daripada sikapnya itu, beliau tidak menyepi
dan mengasingkan diri seperti mana yang dilakukan oleh segelintir ahli
falsafah lain.
Sebaliknya beliau bergiat dalam hal-hal yang berkaitan
dengan kemasyarakatan dan mengambil bahagian secara aktif dalam urusan
pemerintahan serta kenegaraan. Kegiatan ini dilakukannya sehingga beliau
menghembuskan nafas yang terakhir pada 1185 Masihi.
Sumber: Islamgrid