KUCHING – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi tunjang
Barisan Nasional (BN) di Sarawak, telah menyediakan beberapa kejutan
untuk pembangkang pada pilihan raya negeri ke-11.
Presiden PBB, Tan Sri Adenan Satem, yang juga Ketua Menteri, berkata
pilihan raya negeri boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang
sehingga Jun 2016 apabila tempoh penggal Dewan Undangan Negeri berakhir.
“Kami mempunyai beberapa kejutan untuk pembangyang yang kami tidak
akan mendedahkannya sekarang,” kata beliau pada sidang media selepas
mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada penampilan beberapa muka baharu pada pilihan
raya akan menjadi sebahagian daripada kejutan, beliau menjawab: “Kejutan
ialah kejutan. Saya tidak boleh mengumumkan sekarang”.
Pada masa ini, PBB menguasai 35 daripada 71 kerusi dalam Dewan
Undangan Negeri Sarawak yang dimenangi pada pilihan raya negeri lepas
pada 2011.- BERNAMA