Narendra Modi (tengah) menyapu sampah sebagai simbolik pelancaran kempen 'Clean India' bagi mendidik rakyat menjaga kebersihan. |
NEW DELHI – Tindakan seorang ahli politik parti pemerintah India yang
mahu menjadi terkenal di negara itu dengan menyapu sampah, akhirnya
‘memakan diri’ sendiri apabila didapati berlakon membersihkan kotoran
yang sebenarnya dibuang pekerjanya sendiri.
Satish Upadhyay (gambar bawah), pemimpin Parti Bharatiya Janata di
ibu negara India itu pada mulanya menerima pujian ramai penduduk kerana
sanggup menyahut kempen Perdana Menteri, Narendra Modi yang melancarkan
kempen kebersihan ‘Clean India’ pada bulan lalu.
Satish Upadhyay |
Malangnya seorang pekerja beliau secara tidak sengaja merakamkan
gambar mereka terlebih dulu buang sampah-sarap kecil termasuk daun-daun
kering di tepi sebatang jalan di pinggir bandar itu sebelum Upadhyay
datang ‘berlakon’ sibuk menyapu kotoran terbabit.
Gambar aksi pemimpin itu menjadi viral menerusi laman sosial apabila diterbitkan akhbar Mail Today
awal minggu ini namun populariti itu cuma sementara apabila beberapa
foto pekerja Upadhyay menabur sampah kemudian disiarkan beberapa akhbar
tempatan lain.
Ramai penduduk segera meluahkan perasaan marah kepada pemimpin itu menerusi Twitter sehingga penanda #CheatingCleanIndia
menjadi hashtag paling popular di India setakat 7 November sebagai
tempat melepaskan geram ekoran tindakan penipuan Upadhyay itu.
Namun beliau tetap mempertahankan aksi itu sebagai tidak salah.
Kempen kebersihan besar-besaran yang dilancarkan Modi itu turut
melibatkan ramai ahli politik, bintang filem popular termasuk Salman
Khan dan ahli perniagaan terkenal seperti Anil Ambani. – Agensi