Akar Umni Pertikai Ketua Pemuda PAS, Mengecewakan

Alor Setar - Tidak seperti Ketua-Ketua Pemuda PAS sebelumnya, Suhaizan Kaiat disifatkan sebagai seorang ketua yang lemah dan sangat mengecewakan golongan muda yang memilih parti itu sebagai wadah perjuangan politik.

Suhaizan dipertikai sejak kemelut dalaman Pakatan Rakyat berlaku apabila dia dilihat hanya mendiamkan diri dari bertindak membela Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang hampir setiap hari diherdik, dihina dan diperlekeh DAP dan PKR.

Sebaliknya, Ketua Pemuda PAS itu dilihat bersungguh-sungguh mempertahan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya terlibat dengan "masalah".

"Suhaizan Kayat juga mendiamkan diri bak murabbinya iaitu Mad Sabu. Tuan Guru Presiden PAS dihentam bertalu-talu tetapi dia membisu sahaja.

"Bila Anwar Ibrahim berhadapan dengan "masalah", Suhaizan Kayat bersungguh-sungguh bersuara dan sanggup turun berhimpun dengan "masa lebih" bagi memperlihatkan sokonganya terhadap Anwar Ibrahim,"
kata akar umni PAS di laman Facebook, El-Haraki, baru-baru ini.


Ekoran prestasi mengecewakan itu, Suhaizan disarankan supaya diketepikan bersama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang dikatakan tidak benar-benar kenal erti perjuangan PAS yang sebenar.

"Suhaizan Kayat wajar dibangkul sampahkan sahaja bersama murabbinya iaitu Mad Sabu. Sungguh kecewa Anak Muda PAS adanya Ketua Pemuda PAS seperti Suhaizan Kayat.

"Anak Muda PAS seperti memiliki Ketua Pemuda PAS yang dilihat tiada kefahaman dalam perjuangan PAS. Sungguh kecewa dengan sikap "makhluk halus" tersebut,"
kata Admin lama tersebut lagi.

Saranan El-Haraki itu mendapat sokongan dari para pengguna yang dipercayai juga merupakan  penyokong PAS supaya Suhaizan diturunkan dari jawatan Ketua Pemuda PAS yang sepatutnya bertindak vokal mempertahan maruah Presiden PAS.

"Turun suhaizan kayat turun,sebelum anda diturunkan..," komen dua pengguna laman sosial Muhammad Syakir dan Muhammad Al-Fateh di posting tersebut.


Selain itu, ada juga yang mempertikai bagaimana mungkin seorang individu seperti Suhaizan dilantik sebagai Ketua Pemuda PAS.

"Macamana PAS boleh lantik jebon jenis Anwariun ni ?sapa dalangnya? mungkin bapak Jebon kut," komen Khairul Marhaini Anang pula. -KedahNews.com