LAMAN sesawang media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram adalah antara media sosial yang begitu digemari anak remaja masa kini. Laman sesawang ini menjadi medan luahan emosi dan ada diantaranya menggunakan rangkaian ini bagi menimba ilmu dan berkongsi pendapat.
Populariti media sosial ini tidak dapat disangkal lagi oleh mana-mana pihak. Hebahan berita-berita sensasi menjadikan media sosial sebagai satu medium perantaraan yang sangat digemari oleh rakyat Malaysia khususnya remaja.
Sudah banyak kali kita digemparkan dengan isu penghinaan agama Islam dengan pautan mesej yang dikaitkan dengan binatang khinzir dan lain-lain.
Disamping itu, mesej-mesej berunsur hinaan ini semakin galak dilakukan bagi mendapat perhatian umum. Malah, coretahinaan ini juga dikaitkan dengan para pemimpin dan institusi diraja. Jika kita singkap berita Utusan Malaysia yang bertajuk Buru Alvin hingga ke lubang cacing, baru-baru ini dapat disimpulkan bahawa pihak berkuasa mengambil berat akan jenayah siber yang kian menular hari ini.
Persoalannya, mengapakah perkara ini berlaku? Siapakah harus dipersalahkan?
Jenayah siber dapat didefinisikan sebagai jenayah komputer yang dilakukan oleh seseorang bagi memeras ugut, mencuri, membuat penipuan dan menjalankan kegiatan yang menyalahi undang-undang melalui sistem perkomputeran yang akan mendatangkan kerugian atau mencabuli peribadi seseorang dengan secara sengaja.
Kegiatan jenayah siber ini semakin berleluasa seiring dengan pertumbuhan laman sosial yang sering digilai masyarakat menyebabkan ramai diantara kita tidak sedar akan penulisan yang dibuat boleh mendatangkan bencana kepada diri sendiri.
Berikutan kegiatan menghina agama dan mencaci pihak tertentu semakin ketara di laman sosial, maka pihak berkuasa mula bertindak dengan mencari pihak yang menyebarkan mesej berunsur negatif ini dan membawa mereka ke muka pengadilan.
Walaupun ramai yang masih bebas, namun pihak berkuasa masih meneruskan pencarian bagi mengatasi gejala ini dari terus membelenggu kehidupan masyarakat Malaysia sekaligus memberi amaran kepada setiap individu agar berhati-hati dalam menyuarakan pendapat dan luahan rasa di laman sosial masing-masing.
Apakah yang menyebabkan permasalahan ini berlaku? Apakah yang mereka inginkan? Jelas di sini bahawa pihak yang melakukan perkara ini adalah seseorang yang tidak dapat menerima sesuatu perkara dengan baik dan menghadapi konflik dalaman yang serius.
Ada kala perkara ini dilakukan hanya bermotifkan gurauan dan sendaan semata-mata sehingga tidak sedar akan penulisan mereka menyinggung pelbagai pihak. Umumnya, individu seperti ini merupakan golongan yang inginkan perhatian disamping mempunyai masalah moral yang serius.
Sikap tidak menghormati antara satu sama lain menjadikan media sosial sebagai satu medan peperangan bagi sesetengah pihak bagi memporakperandakan keharmonian sejagat. Seperti memalu ular dalam benih, ular biar mati, benih jangan rosak. Perkara ini haruslah ditimbangkan sewajarnya dengan menggunakan kebijaksaan yang ada dalam menangani masalah ini.
Baru-baru ini ada ura-ura bahawa pihak kerajaan mahu menutup akses laman sesawang Facebook di Malaysia. Adakah tindakan ini dapat menyelesaikan masalah yang berlaku? Tidak perlulah kita marahkan nyamuk, kelambu dibakar demi mencari penyelesaian kepada permasalahan ini.
Apa yang perlu dilakukan adalah menjemput kesedaran dari setiap individu tentang akibat pendedahan penulisan negatif di media sosial.
Disamping itu, satu rangka undang-undang harus digubal demi memudahkan perkara ini dibawa ke muka pengadilan. Tindakan pantas harus dilaksanakan dan setiap halaman yang disiarkan haruslah ditutup bagi mengelakkan isu itu dikongsi secara meluas dan menjadi perbalahan antara satu sama lain.
Selain hukuman penjara, denda dan sebagainya, pihak pesalah haruslah menjalani satu sesi psikologi bagi memberi pendedahan rohani dan mencapai kesedaran sivik.
Kesedaran secara insaniah amat penting bagi melahirkan individu yang positif dan menghormati antara satu sama lain.
Oleh itu, peringatan yang berterusan dan bimbingan yang berhemah harus dilaksanakan berbanding dengan memberi hukuman kepada pesalah.
- AZILA JAINI/Utusan *PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan.