Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang dikatakan semakin hilang sokongan dari kalangan ahli PAS pro-ulama menegaskan dia akan tetap melawan Akta Hasutan 1948 meskipun ia diputuskan kekal oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, dia akan menggerakkan kempen besar-besaran bagi memansuhkan Akta Hasutan sebagaimana yang pernah dilakukan terhadap akta seumpama itu seperti ISA sebelum ini.
"Kita tetap akan lawan. Kita akan buat gerakan seperti kita gerakan
rakyat menentang ISA dan juga Akta Polis sehingga kerajaan beralah dan
memansuhkan Akta Hasutan," kata Mat Sabu yang dipetik dari media rasmi PAS, Harakahdaily.
Najib semalam mengumumkan keputusan Kerajaan untuk terus mengekalkan Akta Hasutan, malah menambah dua perkara yang akan mengukuhkan lagi penguatkuasaan terhadap jenayah hasutan yang semakin meruncing di negara ini.
Para penganalisis dan pakar keselamatan menyambut baik pengumuman tersebut dan mendakwa bahawa "hanya mereka yang suka menghasut sahaja yang akan menentang akta tersebut" selain menegaskan betapa perlunya Malaysia terhadap akta berkenaan.
Mat Sabu yang sebelum ini dikritik hebat dalam Muktamar PAS di Johor dan terkenal dengan keceluparan mendakwa "komunis sebagai pejuang kemerdekaan" itu merupakan antara pemimpin politik yang menentang akta berkenaan. -KedahNews.com