Al-Farabi |
Tulisan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle mempunyai
pengaruh yang besar terhadap pemikiran ahli falsafah Islam. Salah
seorang ahli falsafah Islam yang terpengaruh dengan pemikiran kedua
tokoh tersebut ialah Al-Farabi.
Nama sebenarnya Abu Nasr Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu Tarkhan Ibnu
Uzlaq Al Farabi. Beliau lahir pada tahun 874M (260H) di Transoxia yang
terletak dalam Wilayah Wasij di Turki. Bapanya merupakan seorang anggota
tentera yang miskin tetapi semua itu tidak menghalangnya daripada
mendapat pendidikan di Baghdad.
Beliau telah mempelajari bahasa Arab di
bawah pimpinan Ali Abu Bakr Muhammad ibn al-Sariy.Selepas beberapa
waktu, beliau berpindah ke Damsyik sebelum meneruskan perjalanannya ke
Halab. Semasa di sana, beliau telah berkhidmat di istana Saif al-Daulah
dengan gaji empat dirham sehari. Hal ini menyebabkan dia hidup dalam
keadaan yang serba kekurangan.
Al-Farabi terdidik dengan sifat qanaah menjadikan beliau seorang yang
amat sederhana, tidak gilakan harta dan cintakan dunia. Beliau lebih
menumpukan perhatian untuk mencari ilmu daripada mendapatkan kekayaan
duniawi. Sebab itulah Al-Farabi hidup dalam keadaan yang miskin sehingga
beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 950M
(339H).
Walaupun Al-Farabi merupakan seorang yang zuhud tetapi beliau
bukan seorang ahli sufi. Beliau merupakan seorang ilmuwan yang cukup
terkenal pada zamannya. Dia berkemampuan menguasai pelbagai bahasa.
Selain itu, dia juga merupakan seorang pemuzik yang handal. Lagu yang
dihasilkan meninggalkan kesan secara langsung kepada pendengarnya.
Selain mempunyai kemampuan untuk bermain muzik, beliau juga telah
mencipta satu jenis alat muzik yang dikenali sebagai gambus.
Kemampuan
Al-Farabi bukan sekadar itu, malah beliau juga memiliki ilmu pengetahuan
yang mendalam dalam bidang perubatan, sains, matematik, dan sejarah.
Namun, keterampilannya sebagai seorang ilmuwan yang terulung lebih dalam
bidang falsafah. Bahkan kehebatannya dalam bidang ini mengatasi ahli
falsafah Islam yang lain seperti Al-Kindi dan Ibnu Rusyd.
Dalam
membicarakan teori politiknya, beliau berpendapat bahawa akal dan wahyu
adalah satu hakikat yang padu. Sebarang percubaan dan usaha untuk
memisahkan kedua-dua elemen tersebut akan melahirkan sebuah negara yang
pincang serta masyarakat yang kacau-bilau. Oleh itu, akal dan wahyu
perlu dijadikan sebagai dasar kepada pembinaan sebuah negara yang kuat,
stabil serta makmur.
Al-Farabi banyak mengkaji mengenai falsafah dan teori Socrates,
Plato, dan Aristotle dalam usahanya untuk menghasilkan teori serta
konsep mengenai kebahagiaan. Maka tidak hairanlah, Al-Farabi dikenali
sebagai orang yang paling memahami falsafah Aristotle.
Dia juga
merupakan seorang yang terawal menulis mengenai ilmu logik Yunani secara
teratur dalam bahasa Arab. Meskipun pemikiran falsafahnya banyak
dipengaruhi oleh falsafah Yunani tetapi beliau menentang pendapat Plato
yang menganjurkan konsep pemisahan dalam kehidupan manusia.
Menurut
Al-Farabi, seorang ahli falsafah tidak seharusnya memisahkan dirinya
daripada sains dan politlk. Sebaliknya perlu menguasai kedua-duanya
untuk menjadi seorang ahli falsafah yang sempurna.
Tanpa sains, seorang ahli falsafah tidak mempunyai cukup peralatan
untuk diekspolitasikan untuk kepentingan orang lain. Justeru, seorang
ahli falsafah yang tulen tidak akan merasai sebarang perbezaan di
antaranya dengan pemerintah yang tertinggi kerana keduanya merupakan
komponen yang saling lengkap melengkapi.
Dalam hal ini beliau
mencadangkan agar diwujudkan sebuah negara kebajikan yang diketuai oleh
ahli falsafah.Pandangan falsafahnya yang kritikal telah meletakkannya
sebaris dengan ahli falsafah Yunani yang lain.
Dalam kalangan ahli
falsafah Islam, beliau juga dikenali sebagai Aristotle kedua. Bagi
Al-Farabi, ilmu segala-galanya dan para ilmuwan harus diletakkan pada
kedudukan yang tertinggi dalam pemerintahan sesebuah negara.
Pandangan
Al-Farabi ini sebenarnya mempunyai persamaan dengan falsafah dan ajaran
Confucius yang meletakkan golongan ilmuwan pada tingkat hierarki yang
tertinggi di dalam sistem sosial sesebuah negara.
Di samping itu, Al-Farabi juga mengemukakan banyak pandangan yang
mendahului zamannya. Antaranya beliau menyatakan bahawa keadilan itu
merupakan sifat semula jadi manusia, manakala pertarungan yang berlaku
antara manusia merupakan gejala sifat semula jadi tersebut.
Pemikiran,
idea, dan pandangan Al-Farabi mengenai falsafah politik terkandung dalam
karyanya yang berjudul "Madinah al-Fadhilah".
Perbicaraan mengenai ilmu
falsafah zaman Yunani dan falsafah Plato serta Aristotle telah
disentuhnya dalam karya " Ihsa* al-Ulum" dan "Kitab al-Jam".
Terdapat
dua buku tidak dapat disiapkan oleh Al-Farabi di zamannya. Buku-buku itu
ialah "Kunci Ilmu" yang disiapkan oleh anak muridnya yang bernama
Muhammad Al Khawarismi pada tahun 976M dan "Fihrist Al-Ulum" yang
diselesaikan oleh Ibnu Al-Nadim pada tahun 988M.
Al-Farabi juga telah
menghasilkan sebuah buku yang mengandungi pengajaran dan teori muzik
Islam, yang diberikan judul "Al-Musiqa" dan dianggap sebagai sebuah buku
yang terpenting dalam bidang berkenaan.
Sebagai seeorang ilmuwan yang tulen, Al-Farabi turut memperlihatkan
kecenderungannya menghasilkan beberapa kajian dalam bidang perubatan.
Walaupun kajiannya dalam bidang ini tidak menjadikannya masyhur tetapi
pandangannya telah memberikan sumbangan yang cukup bermakna terhadap
perkembangan ilmu perubatan di zamannya.
Salah satu pandangannya yang
menarik ialah mengenai betapa jantung adalah lebih penting berbanding
otak dalam kehidupan manusia. Ini disebabkan jantung memberikan
kehangatan kepada tubuh sedangkan otak hanya menyelaraskan kehangatan
itu menurut keperluan anggota tubuh badan.
Sesungguhnya Al-Farabi merupakan seorang tokoh falsafah yang serba
boleh. Banyak daripada pemikirannya masih relevan dengan perkembangan
dan kehidupan manusia hari ini.
Sementelahan itu, pemikirannya mengenai
politik dan negara banyak dikaji serta dibicarakan di peringkat
universiti bagi mencari penyelesaian dan sintesis terhadap segala
kemelut yang berlaku pada hari ini.
Sumber: Islamgrid