Al-Fatihah: Bekas KPN, Tan Sri Mohd Bakri Omar Meninggal Dunia

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar dilaporkan telah meninggal dunia di Institut Kanser Negara, pagi ini.

Dikenali sebagai seorang yang sangat tegas dan menitikberatkan disiplin, Allahyarham telah menjawat jawatan Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Norian Mai pada 5 November 2003 sebelum bersara pada tahun 2006.

Semasa hayatnya allahyarham pernah bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Mersing, Ketua Polis Daerah Balik Pulau, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Timbalan Komandan Maktab Pegawai Kanan Polis, Kuala Kubu Bahru dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.

Selain itu, Allahyarham juga pernah menyandang jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah, Ketua Polis Kedah, Ketua Polis Kuala Lumpur, Ketua Pengarah Agensi Dadah Kebangsaan, Pengarah Pengurusan dan Timbalan Ketua Polis Negara.

Allahyarham dilahirkan pada 10 September 1948 di Manjung, Perak.

Dalam pada itu ketika terlantar sakit, Allahyarham Mohd Bakri dikatakan sempat mengirim pesan melalui seorang kenalan yang hanya dikenali sebagai M. Zainan, memohon maaf kepada masyarakat dan rakyat Malaysia. -KedahNews.com