Ir. Mohd Hazery Md. Shamsi menunjukkan lokasi ditemui al-Quran tersebut, baru-baru ini. |
MASJID Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) di Putrajaya pernah menerima julukan Masjid Besi, berlainan pula dengan sebuah surau yang terletak di Presint 9B, Putrajaya yang juga dikenali sebagai Surau Kayu. Surau Al Iman di Presint 9B, pula dikenali sebagai Surau Kayu.
Panggilan klasik kepada Surau Al Iman itu berkemungkinan disebabkan hampir 80 peratus binaan surau yang mula digunakan pada 2011 itu adalah berteraskan kayu.
Lebih menarik lagi, dikatakan pembinaan surau tersebut mengambil kira konsep binaan Masjid Kampung Laut di Tumpat, Kelantan yang dibina pada kurun ke-18.
Begitu pun, setelah tiga tahun menyumbang bakti sebagai tempat penyatuan ummah dan penyebaran ilmu, malang tidak berbau, surau yang dibina hasil derma orang ramai itu telah ditimpa musibah dijilat api. Kejadian yang tidak diduga itu mengejutkan penduduk sekitar.
Menurut iman ketiga surau itu. Ir. Mohd. Hazery Md. Shamsi, hampir keseluruhan dewan solat utama surau itu telah terbakar yang dikatakan berpunca daripada litar pintas.
“Kejadian itu berlaku pada 29 Oktober lalu pada pukul 3 pagi dan ia disedari oleh seorang jiran yang tinggal berhampiran surau tersebut.
“Hasil tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya, api dapat dikawal daripada memusnahkan seluruh surau terbabit,” katanya ketika ditemui di surau itu, baru-baru ini.
Tragedi kebakaran itu telah menyebabkan pihak jawatankuasa surau terbabit menganggarkan lebih kurang RM3 juta diperlukan bagi tujuan membaik pulih surau yang hampir musnah.
Usaha untuk mendapatkan dana itu telah pun digerakkan dan ia juga turut dibantu oleh MTMZA dan beberapa surau sekitar Putrajaya, seperti menyediakan tabung derma di setiap lokasi masjid bagi sesiapa yang ingin memberi sumbangan.
Perlukan dana
“Memang kita memerlukan dana bagi membina semula apa yang sudah musnah dan sesiapa yang ingin menyalurkan sumbangan bolehlah melakukannya melalui akaun Surau Al Iman Putrajaya (CIMB Islamic - 8600308550),” kata Mohd. Hazery.
Walaupun ditimpa musibah itu, aktiviti surau, termasuk solat fardu tidak pernah terputus apabila pihak surau telah membina tapak surau sementara yang terletak bersebelahan dengan lokasi kebakaran itu.
“Selain solat fardu, aktiviti lain seperti kuliah agama, bacaan al-Quran dan lain-lain turut berjalan seperti biasa,” katanya.
Walau bagaimanapun, di sebalik musibah itu, terjadi satu kejadian yang cukup luar biasa iaitu kitab al-Quran yang dibaca oleh iman pada setiap kali solat fardu, langsung tidak terkena jilatan api kebakaran.
Lebih menakjubkan, apa sahaja yang berdekatan dengan kitab suci itu, hangus terbakar termasuk rak besi tempat kitab suci itu berada.
Mohd. Hazery yang menjadi individu pertama menemui kitab suci, mengakui apa yang berlaku itu adalah sesuatu yang cukup bermakna buatnya, apa lagi ini adalah satu kejadian yang cukup luar biasa dan penuh pengajaran bagi mereka yang berfikir.
Walaupun kisah-kisah keajaiban dan mukjizat al-Quran itu terlalu banyak diketengahkan sama ada menerusi media massa atau penceritaan dari mulut ke mulut, namun tegas Mohd. Hazery, peluang menyaksikannya secara langsung telah menjadikan ia sebagai satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan seumur hidupnya.
“Saya menemui kitab suci itu ketika anggota Bomba dan Penyelamat sedang melakukan kerja-kerja penyiasatan di lokasi kejadian pada pukul 8 pagi hari berikutnya.
“Memang saya kenal kitab al-Quran itu dan apabila saya membukanya, alangkah terkejut, lembaran surah itu masih dalam keadaan baik sekali,” katanya.
Katanya lagi, hanya bahagian tepi kitab suci itu yang terbakar, manakala bahagian lain, termasuk lembaran surah langsung tidak terjejas.
“Walaupun setelah lebih dua minggu kejadian itu, lembaran surah itu masih dalam keadaan basah walaupun saya simpannya di tempat yang kering,” katanya. -Utusan