Anak Bekas Presiden PAS Pertahan Sister In Islam

Senada dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Mujahid Yusof Rawa turut menyanggah tindakan Majlis Fatwa Negeri Selangor yang mengharamkan pertubuhan yang mendokong fahaman liberalisme dan pluralisme.

Mujahid mendakwa keputusan Majlis Fatwa Negeri itu kononnya menyeleweng dari ajaran Islam sebenar dan bersalahan dengan peraturan mengeluarkan fatwa dari sudut agama Islam itu sendiri.

Katanya, fatwa yang dikeluarkan perlu bersifat menyeluruh dan bukan hanya ditujukan kepada badan tertentu sahaja.

"Fatwa itu sepatutnya secara umum, ia menyeluruh, namun apa yang berlaku kini ia dikeluarkan bagi mengharamkan atau mematikan sesuatu badan yang berbeza fahaman," katanya kepada media di lobi Parlimen baru-baru ini.

Dipercayai kenyataan Mujahid itu bertujuan mengulas mengenai Fatwa Negeri Selangor yang dikeluarkan pada Julai 2014.

Fatwa berkenaan dengan jelas menggazetkan pertubuhan Sisters in Islam (SIS) dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Bagi mencegah penularan fahaman sesat itu di kalangan umat Islam di internet, Majlis Fatwa juga meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya menyekat mana-mana laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum syarak.

Menurut fatwa itu lagi, individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme sebagai pegangan amalan agamanya maka hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.

Lebih jelas lagi, fatwa berkenaan langsung tidak khusus ditujukan khas kepada Sister Is Islam sahaja sebagaimana yang didakwa Mujahid, malah bersifat menyeluruh sebagaimana yang AJK PAS Pusat itu mahukan.

Mujahid sebelum ini dilihat sering bersekongkol dan bersetuju dengan pendirian rakan sejawatnya Khalid Samad berhubung isu-isu kontroversi termasuk penggunaan kalimah "Allah", isu rampasan Bible dan sebagainya. -Amir Hamzah/UtaraNews.com