KUALA LUMPUR – Tiada lagi cinta seterusnya mengharapkan hubungan yang pernah mekar ke jenjang pelamin.
Barangkali hasrat dan doa sesetengah pihak yang mahu melihat hubungan
Hanez Suraya dengan Romie Razin Adilha bernoktah seakan dimakbulkan.
Hubungan mereka menurut pelakon putih gebu itu hanya bertahan hampir
10 bulan. Industri hiburan pernah kecoh apabila Hanez menjalin cinta
dengan Romie di saat lelaki itu sedang berdepan dengan masalah rumah
tangga.
Natijahnya ketika itu Hanez terus dikecam dan dihentam sekali gus dianggap sebagai perampas dan perosak rumah tangga orang.
Ketika dihubungi sebentar tadi, Hanez berkata, dia enggan menoleh ke
belakang lagi dan apa yang terjadi menjadi iktibar buat empunya diri.
“Keputusan untuk berpisah ini sudah lama dilakukan. Cuma hanya ketika
saat ini baru saya sendiri bersedia untuk berkongsinya. Kami berpisah
secara baik. Bukan nak kata serik dengan apa yang terjadi tetapi sebagai
manusia biasa semua yang berlaku menjadi pengalaman berharga.
“Benar cinta itu buta. Saya juga seperti manusia lain yang ingin
mengejar bahagia tetapi lupa untuk menjaga perihal lain. Ini bahagian
hidup saya dan saya reda dengan suratan yang tertulis,” katanya.
Seboleh-bolehnya Hanez memohon jasa baik semua yang di luar sana
termasuk rakan media supaya tidak lagi mengaitkan dirinya dengan lelaki
yang pernah hadir mencuri kamar hatinya.
“Kalau boleh andai cerita saya ditulis selepas ini, jangan kaitkan
saya dengan dia lagi. Masalah rumah tangganya juga jangan babitkan saya
lagi,” katanya yang memohon pengertian ramai pihak.
Mengenai kerjaya lakonan, biar pernah bertebaran kononnya diboikot pihak tertentu, Hanez pasrah dengan apa yang terjadi.
Malah baru-baru ini, namanya digugurkan dari sebuah telefilem.
“Saya bersyukur kerana ramai yang menghubungi saya memberi sokongan
moral dari belakang.
Mereka suruh saya tenang dulu dengan apa yang
terjadi,” katanya yang memberitahu masih boleh meneruskan kehidupan saat
ini. – BH Online