Awas! Budak Ini Akan "Serang" Kedah Esok

Pada Jumaat ini, bermula tarikh 14 November 2014, seorang pelajar yang menghadapi 9 tuduhan disiplin atas pelbagai kesalahan melanggar undang-undang di Universiti Malaya dikhabarkan bakal "menyerang" negeri-negeri di utara semenanjung.

Menurut kenyataan pelajar itu, Fahmi Zainol, dia akan berada di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan meneruskan agenda hasutannya di Universiti Sains Malaysia (USM) di sebelah petang manakala di pintu belakang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Permatang Pauh, di sebelah malam pada 15 November.

Sebelum itu, Fahmi dilaporkan terbang ke Kota Kinabalu, Sabah, untuk membuat kecoh di sana sehingga menimbulkan kemarahan penduduk tempatan atas cubaan menghasut anak negeri di bumi di bawah bayu itu.

Menerusi sebuah rakaman video, kita boleh saksikan sendiri bagaimana teruknya Fahmi dimaki hamun orang Sabah yang tidak mahu dia memecah-belahkan perpaduan masyarakat di sana dan tindakannya membuat onar di tempat orang itu dikecam hebat.

Penulis tidak tahu siapa sebenarnya yang membiayai segala kos perbelanjaan Fahmi mengelilingi negara untuk meneruskan agendanya menghasut mahasiswa supaya menyertai perjuangan politiknya itu. Mungkinkah ada "tangan ghaib" yang menghulurkan dana?

Kononnya dia berpidato memperjuang hak mahasiswa. Tapi jika diteliti ucapannya itu, bukan saja ia berbaur hasutan politik, malah pelajar itu dikatakan cuba mendorong dan menggalakkan pelajar supaya berfikiran kritis negatif yang tidak masuk dek akal.

Misalnya, dia mendakwa kononnya UM menghalang kebebasan pelajar bersuara sedangkan perkara yang cuba disuarakan itu tiada kena mengena dengan akademik, malah bermotifkan membakar darah muda mahasiswa lain untuk bertindak diluar batasan undang-undang.

Contoh terlampau yang dilakukan Fahmi ialah memecah pagar utama UM dan membawa masuk seorang alumni UM yang sama sekali tidak wajar dijadikan contoh kerana terlibat dengan pelbagai jenayah termasuk seks luar tabii, salah guna kuasa dan retorik pembohongan umum.

Apabila dia didakwa oleh pihak universiti atas pelbagai kesalahan itu, dia cuba berkempen supaya peraturan-peraturan sedia ada yang mengekang agenda hasutan radikalnya agar dihapuskan.

Wajarkah begitu? Hanya untuk menghalalkan segala kesalahan yang dia lakukan, maka peraturan dan undang-undang universiti perlu dimansuh dan digubal mengikut kehendak hatinya? Apa dia fikir dia pemilik universiti itu?

Justeru, penulis menggesa agar seluruh mahasiswa di kawasan utara semenanjung sama ada di UUM, USM, UiTM, atau mana-mana institusi pengajian tinggi untuk menolak dan membantah cubaan "serangan" Fahmi sekeras mungkin.

Sewajarnya pusat pendidikan tertinggi di seluruh negara perlu memberi fokus pada dunia akademik dan tidak sama sekali wajar di bawa masuk anasir jijik politik yang mampu menghuru-harakan institusi pengajian tinggi negara.

Peraturan sedia ada perlu dihormati dan Fahmi Zainol serta konco-konconya yang bertindak diluar batasan perlu disekat dan diberi pengajaran setimpal sejajar dengan ketetapan undang-undang yang telah ditetapkan.

Yang pasti, Fahmi Zainol tidak perlu diberi ruang masuk ke zon akademik pengajian tinggi di -sebelah utara semenanjung! -Amir Hamzah/UtaraNews.com