KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur hari ini mendedahkan imej seorang
lelaki yang dipercayai terbabit dalam insiden serangan bom tangan di
hadapan sebuah kelab malam di Sun Complex, Bukit Bintang pada 9 Okt
lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata ia berdasarkan
empat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Beliau berkata berdasarkan rakaman CCTV juga, polis mendapati semasa
kejadian, terdapat dua lelaki bertindak membaling bom tangan ke arah
sekumpulan pengunjung yang keluar daripada pusat hiburan tersebut.
“Polis telah merujuk rakaman berkenaan kepada pihak forensik PDRM
(Polis Diraja Malaysia) dan mendapatkan pelukis profesional bagi melakar
gambaran imej salah seorang yang dipercayai terbabit dalam kejadian
itu.
“Polis percaya imej lelaki yang dilukis berumur dalam lingkungan 40
tahun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala
Lumpur di sini, hari ini.
Tajudin berkata polis juga mendapati kedua-dua suspek telah berlari
menuju ke sebuah kereta Proton Perdana berwarna hitam yang diletakkan di
kawasan sekitar sejurus selepas kejadian.
Pada masa sama pihak polis memohon maaf kerana mereka terpaksa
mengambil masa untuk mengenal pasti suspek disebabkan gambaran CCTV yang
kurang jelas, katanya.
Beliau berkata sehingga kini lima warga tempatan berumur antara 25
dan 46 tahun telah ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah
(KPJ) bagi membantu siasatan.
Namun kesemua mereka telah dibebaskan, katanya.
“Kesemua tangkapan telah dibebaskan dengan jaminan polis selama dua
minggu,” katanya sambil menambah polis masih percaya kejadian itu
merupakan cubaan membunuh yang bermotifkan persaingan aktiviti haram.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat suspek yang
menyerupai imej yang diedarkan agar menghubungi Pegawai Penyiasat ASP R.
Ananthan di talian 019-3227766 atau menghubungi terus Bahagian Khas
(D9), IPKKL di talian 03-21460685 dan pusat kawalan IPKKL melalui talian
03-21460585 atau 03-21460584.
Dalam kejadian itu, seorang joki kereta Tiong Kwong Yie, 36, maut dan
12 yang lain termasuk pelancong asing cedera yang dipercayai mempunyai
kaitan dengan perebutan kawasan kumpulan kongsi gelap. – BERNAMA