Awas Umat Islam, Liberalisme & Pluralisme Menyerang...!

Fahaman pluralisme yang difatwa sesat!
AKHIR-AKHIR ini semakin jelas pengaruh liberalisme dan pluralisme agama cuba masuk dan mempe­ngaruhi pemikiran dan cara beragama orang Islam di Malaysia.

Percubaan membawa masuk Dr. Ulilabsar Abdallah tokoh Jaringan Islam Liberal (JIL) dari Indonesia menimbulkan kontroversi. Ianya bukan bermakna umat Islam di Malaysia tidak terbuka untuk membincangkan isu-isu Islam tetapi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak membenarkan ajaran-ajaran yang menyalahi disebarkan di negara ini kerana bimbang perpecahan yang terjadi di Indonesia boleh berlaku di Malaysia.

Tokoh-tokoh dunia Islam di seluruh dunia sering datang dan diundang ke Malaysia untuk memberi ceramah dan setengahnya diberikan ruangan khas di rangkaian televisyen supaya citra Islam dapat dikembangkan dan difahami.

Tradisi keilmuan dan tafsir dalam Islam ibarat mata rantai sifatnya sambung sinambung. Ia mengukuhkan lagi tasawwur Islam atau pandangan semesta Islam dan sifatnya mempertautkan bukan memecahbelahkan fikrah dan akidah supaya Islam releven dengan perkembangan zaman.

Pendekatan Jaringan Liberal Islam (JIL) menggunakan metodologi tafsir dan takwil yang liberal, cuba lari dari merujuk pandangan ulama muktabar yang mereka anggap tradisional dan fundamental lalu berpegang kepada rasionaliti dan logik yang mereka anggap sesuai dengan perkembangan semasa.

Nurkholis Majid pendukung awal faham liberal membenarkan anaknya berkahwin dengan seorang Yahudi. Ulilabsar Abdallah sendiri menganggap kisah dalam al-Quran mengenai Laut Terbelah sebagai dongeng. Asas-asas seperti inilah yang menyebabkan pihak berwajib agama di Malaysia mengambil langkah mencegah kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Hal yang sama aliran pluralisme agama yang menganggap semua agama sama. Seorang tokoh politik Malaysia beberapa tahun lalu bercakap di London School of Economics mengenai hal ini. Hasilnya kalimah Allah dijadikan agenda awal membolehkan kalimah itu digunakan sebagai nama Tuhan orang Kristian.

Ianya menjadi isu kontroversi di mahkamah kerana kegunaannya dalam majalah The Herald dan digunakan dalam Bible atau al-Kitab dalam bahasa Melayu dan Iban di Selangor dan menjadi kontroversi sehingga kini.

Orang yang menganut Islam amat memahami bahawa perkataan Allah itu tidak saja suatu istilah tetapi khusus untuk orang Islam kerana ianya membawa makna atau maksud Allah Yang Esa. Surah al-Ikhlas dan al-Kafiruun memberikan asas yang jelas tentang hal ini.


Tetapi mengapa sesetengah tokoh politik bersungguh-sungguh sangat untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada kepercayaan orang Kristian yang jelas mendukung konsep Triniti – Satu dalam Tiga.

Kalau maksudnya menjinakkan orang Kristian dengan Allah Yang Esa dalam akidah Islam mereka lebih tahu. Maksud sebenar tokoh-tokoh ini ialah untuk memenangi pengaruh politik bahawa dari segi akidah antara Islam dan Kristian tidak ada beza. Ini suatu pendekatan yang tidak berasaskan kebenaran. Yang benar patut dikatakan benar dan yang berbeza berbezalah.

Perbezaan ini tidak bermakna antara agama harus wujud permusuhan dan perseteruan. Al-Quran memberikan pedoman, Laqum deenukum walyadeen – kamu agama kamu kami agama kami. Ada garis pemisah antara kedua-duanya.

Di Malaysia, walaupun Islam dinobat sebagai agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Ini yang sedang berlaku. Tetapi mengapa kedapatan pihak-pihak tertentu cuba menghina Islam dan tidak merasa sensitif terhadap umat Islam dan sering berlaku penghinaan dalam berbagai bentuk.

Faham liberalisme agama dan pluralisme agama ini sangat bahaya di Malaysia. Ia tidak saja berbangkit dengan isu kalimah Allah tetapi cuba membentuk fahaman dan cara berfikir mengenai isu sosial dan agama.

Isu Hak Asasi Manusia yang tidak berasaskan akhlak dan etika menjadi agenda perjuangan mereka. Isu-isu seksual seperti LGBT yang dibolehkan di Barat mahu dibenarkan berlaku di sini.

Ianya amat bercanggah dengan etika apa agama pun apa­lagi Islam. Jika ia tidak dibendung, kerosakan sistem sosial dan kekeluargaan di Barat bakal berlaku di negara kita dan ia adalah suatu malapetaka bagi manusia. - Utusan