Azmin Lebih Bagus Dari Isteri Anwar...

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dilihat lebih layak menjadi pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) berbanding Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan penyandang jawatan Presiden parti itu.

Menurut Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Jayum Jawan, Wan Azizah tidak memiliki kebolehan memimpin dan itu menjadikan Azmin lebih relevan dijadikan pemimpin tertinggi PKR.

"Kita tahu Presiden PKR adalah Datuk Seri Wan Azizah, tapi beliau bukanlah pengemudi PKR. Wan Azizah tidak lagi relevan kerana beliau tidak mempunyai kebolehan memimpin.

"Beban itu akan jatuh ke bahu Azmin yang mengisi posisi timbalan presiden," kata penganalisis politik itu yang dipetik dari media arus perdana, baru-baru ini.

Namun begitu, Jayum menegaskan bahawa Azmin hanya boleh memimpin dengan aman tanpa sebarang gangguan sekiranya dia mempunyai hubungan yang baik dan ikhlas dengan beberapa "taiko" PKR yang lain seperti Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli.

"Beliau dinasihatkan menghulur tangan kepada pimpinan tertinggi dalam PKR seperti Saifuddin Nasution Ismail, Rafizi Ramli dan beberapa lagi.

"Dengan cara ini, beliau akan memimpin dengan tenang," katanya mengulas sekiranya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diputuskan bersalah dan "disumbat" ke penjara semula.

Ketika kemelut Menteri Besar Selangor sedang hangat berlangsung, Anwar dan kroni-kroni kepimpinannya dalam PKR menegaskan hanya isterinya Wan Azizah sahaja yang layak memimpin Selangor.

Anwar mendakwa isterinya itu memiliki sifat kepimpinan yang sangat tinggi meskipun pendirian itu bertentangan dengan pandangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan Wan Azizah tidak berkebolehan menjadi seorang pemimpin.

Selain itu, Azmin turut menjadi mangsa serangan "tukang-tukang bodek" Anwar apabila mereka dilihat cuba memperlekeh Timbalan Presiden PKR itu dan memberi amaran supaya Menteri Besar Selangor itu menarik diri sekiranya terpilih ke jawatan nombor satu di negeri itu.

Sejak kemelut Menteri Besar Selangor berlaku dan meskipun kini telah selesai, kemelut di antara PAS dengan PKR dan DAP masih lagi belum berakhir, malah semakin meruncing hingga menyebabkan berlaku pepecahan serius di dalam PAS.

Difahamkan golongan pro-Anwar di dalam parti Islam itu semakin menunjukkan belang masing-masing di mana mereka secara terbuka menunjukkan taat setia terhadap Anwar berbanding kepada Abdul Hadi.

Ekoran itu, beberapa pemimpin PAS seperti Adun parti itu di Selangor, Hasnul Baharuddin dan Saari Sungib, dilabel sebagai "barua" dan "broker" oleh Presiden PAS serta penyokong pro-ulama parti tersebut. -Amir Hamzah/UtaraNews.com