Baddrol Kekal, Hijau Kuning Bakal Terima Awang Import Baharu! @MediaKFA

ALOR SETAR - Hasrat Skuad Tok Gajah untuk "mencuri" tonggak utama pasukan Lang Merah, Baddrol Bakhtiar untuk musim 2015 dijangka tidak kesampaian apabila pemain itu dilaporkan akan kekal bersama pasukan Hijau Kuning.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah, KFA, Aminuddin Omar yang juga merupakan Exco Belia dan Sukan, Kerajaan Negeri Kedah.

Menurut Aminuddin, beliau sendiri telah berhubung dengan Baddrol yang kini sedang menjalani latihan bersama pasukan Harimau Malaya di Johor Bahru dan ayam tambatan kesayangan peminat bola sepak negeri Kedah itu dikatakan memberi reaksi positif bersama Lang Merah.

"KFA masih lagi memerlukan khidmat beliau dan saya pun telah berhubung dengan Baddrol dan Insya Allah saya ingat beliau masih lagi berminat untuk bermain dengan Kedah dan saya yakin perbualan saya dengan beliau, beliau tidak akan tinggalkan Kedah, insya Allah..," kata Aminuddin yang dipetik dari kepada BeritaKedah.fm di sini, baru-baru ini.

KedahNews.com difahamkam bahawa kontrak Baddrol bersama KFA akan tamat dalam tempoh dua minggu lagi.

Selain itu, Aminuddin turut mengesahkan, jodoh keempat-empat pemain import pasukan itu termasuk penyerang dari England, Billy Osman Mehmet sudah berakhir apabila KFA membuat keputusan untuk melepaskan mereka.

Justeru itu katanya, KFA bakal mendapatkan khidmat pemain import baharu bagi menyarung jersi Hijau Kuning untuk musim depan.

Selain Billy, Kedah turut dibarisi pemain import dari Korea Selatan, Namkung Woong; pemain pertahanan dari Australia, Adam Griffith selain Jose Franco Gomez yang mengalami kecederaan di pertengahan musim. - KedahNews.com