Bahasa Arab Lebih Penting Bagi Umat Islam Berbanding Bahasa Lain?

Tidak dinafikan bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia kebanyakkannya merupakan golongan "ajam" yang tidak menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa ibunda. Kita semua berada beribu-ribu kilometer dari benua Arab.

Namun tanpa disedari, sebenarnya kita "bertutur" dalam Bahasa Arab setiap hari di dalam solat, termasuk dalam aktiviti mengalunkan ayat Al-Quran Al-Karim.

Malangnya, kebanyakkan kita yang tidak menguasai Bahasa Arab mungkin tidak memahami yang tersurat mahupun tersirat berkenaan firman Allah SWT yang dibaca atau segala "pertuturan" kita dengan Allah ketika bersolat.

Meskipun dibekalkan dengan terjemahan Al-Quran, yang tersirat pastinya sangat sukar difahami. Apatah lagi jika mahu diselami segala balaghah, mantiq dan kehalusan sastera di sebalik firman-firman Allah SWT itu.

Mungkin kerana mengambil mudah dan bersikap "tak apa", tidak timbul keinginan di hati kita untuk mempelajari bahasa syurga itu yang mampu menjadikan kita lebih khusyuq ketika mengerjaka ibadah padaNya.

Tidak dinafikan juga Bahasa Inggeris adalah penting bagi umat Islam menguasai ilmu di zaman ini. Namun sebagai umat Islam, Bahasa Arab adalah lebih penting bagi mengukuhkan iman, aqidah dan taqwa pada Allah SWT serta ajaran Islam yang disampaikan Rasulullah SAW.

Para Ulama Islam bermula dari zaman para sahabat RA sehinggalah ke abad ini, seringkali melaungkan betapa pentingnya Bahasa Arab bagi umat Islam.

Ubay Ibn Ka'ab radhiyallahu anhu berkata : 
"Ajarlah Bahasa Arab (Nahu/Tatabahasa) seperti kamu mengajar menghafal al-Quran!"
Saiyyidina Abu Bakr As-Siddiq RA berkata :
"Bahawa aku membaca dan terlupa (sebahagian ayat bahasa Arab) itu lebih baik daripada aku melakukan kesalahan nahu!"
Saiyyidina Umar Ibn Khattab RA di zaman kegemilangan Islam pernah melalui sekumpulan pemanah yang tersasar panahan mereka. 

Beliau menegur kumpulan itu dan mereka menyatakan bahawa mereka hanya seorang yang baru belajar memanah, tetapi mereka membuat kesalahan tatabahasa dalam jawapan mereka itu. 

Lalu Umar Ibn Khattab RA berkata kepada mereka :
"Sesungguhnya kesalahan kamu dalam Nahu (tatabahasa) Bahasa Arab adalah sesuatu yang aku tidak boleh terima berbanding kesalahan kamu dalam memanah."
Imam Syafie rahimahullah berkata :
Maka, menjadi suatu kewajipan untuk seseorang Muslim berusaha mempelajari Bahasa Arab seboleh mungkin, supaya mereka boleh membuktikan 'Syahadah', dan membaca Kitab Allah (yakni al-Quran),  serta melafazkan zikir yang wajib ke atas mereka; seperti takbir, tasbih, tasyahud dan lain-lain zikir.
Dan lebih banyak mereka mempelajari bahasa yang Allah SWT yang menjadikan bahasa utama bagi penghulu segala nabi, Nabi Muhammad SAW, serta menjadi bahasa wahyu terakhirNya, maka lebih baik untuk orang tersebut.

Untuk sebab itu, dapat dilihat masyarakat yang lemah dan tidak endah terhadap kepentingan bahasa Arab ini, mereka lebih terjerumus untuk sesat berbanding mereka yang kukuh pada bahasa syurga ini.

Maka tidak hairanlah jika dinyatakan bahawa musuh Islam itu ingin memusnahkan Bahasa Arab, kerana mereka tahu kepentingan Bahasa Arab kepada umat Islam.

Sir Gladstone, salah seorang pemimpin dan pemikir Eropah berkata: 
"Selagi mana seorang muslim itu mempunyai Al-Quran di tangan mereka, maka Eropah tidak punya harapan untuk menawan Timur."
Oleh itu, bersama-samalah kita mengukuhkan Bahasa Arab serta melazimkan diri untuk berbahasa dengan Bahasa Syurga ini.