CAMERON HIGHLANDS – Paras air di Empangan Sultan Abu Bakar di Lembah
Bertam di sini dilaporkan berada pada paras normal iaitu 3,498 meter
setakat 10.30 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Wan Zahari Wan Busu berkata
walaupun berlaku hujan lebat sekejap-sekejap malam tadi, paras air di
empangan berada pada tahap stabil.
“Semalam paras air di empangan berkenaan mencatatkan 3,500 meter
iaitu pada paras normal. Paras air melebihi 3,500 meter dikategorikan
berada pada paras bahaya.
“Bagaimanapun penduduk di sekitar Lembah Bertam dan Ringlet tidak
perlu merasa bimbang kerana pihak bomba dan Tenaga Nasional Berhad (TNB)
sentiasa memantau keadaan semasa di empangan itu,” katanya ketika
dihuhungi Bernama di sini, hari ini.
Sementara itu, tinjauan Bernama di pusat pemindahan mangsa banjir di
Dewan Serbaguna Orang Ramai di Ringlet pagi ini mendapati mangsa banjir
dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bagi tujuan membersihkan rumah
masing-masing.
Bagaimanapun, mereka masih tidak dibenarkan menetap di rumah
masing-masing ekoran faktor cuaca yang tidak menentu dan hanya
dibenarkan pulang untuk tujuan membersihkan rumah sahaja.
Keadaan cuaca di sini pagi ini adalah cerah.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang Rabu lepas, penduduk di tebing
Sungai Bertam dekat sini diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan
Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin
meningkat akibat hujan lebat.
Sementara itu, Pekan Ringlet juga dilanda banjir kilat apabila air di
sungai berhampiran naik melebihi paras tebing ekoran hujan lebat selama
sejam.
Dalam kejadian itu, lima mangsa turut terkorban manakala lima lagi cedera. – BERNAMA