Banjir Cameron Highlands: Penduduk Perlu Berpindah

Sg Bertam, Cameron Highlands terjejas teruk akibat banjir
CAMERON HIGHLANDS – Penduduk yang tinggal di sepanjang tebing Sungai Bertam dan Ringlet perlu berpindah jika tidak mahu terus berdepan banjir lumpur dan banjir kilat pada masa depan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel berkata, kerajaan bersedia menempatkan mereka di tempat selamat menerusi program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) jika mereka bersetuju berbuat demikian.

“Masalah sekarang ialah kebanyakan penduduk enggan berpindah dengan alasan mereka sudah memperoleh geran menduduki sementara (TOL),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 72 orang mangsa banjir kilat Kampung Baru Ringlet di Dewan Orang Ramai Ringlet di sini, hari ini.

Palanivel yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands berkata, justeru pihaknya tidak boleh memaksa mereka berpindah sebaliknya berusaha memujuk mereka berbuat demikian demi keselamatan diri dan keluarga mereka. – BH Online