ALOR SETAR – Seorang duda tergamak membawa anak perempuannya berusia
11 tahun ke rumah tumpangan untuk bermadu kasih bagi mengaburi mata
pihak berkuasa.
Bagaimanapun, helah mereka terbongkar selepas sepasukan penguatkuasa
Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) melakukan serbuan Ops Bersih kira-kira
pukul 12.00 tengah malam sekitar bandaraya ini, kelmarin.
Ketika serbuan, duda tiga anak berusia 33 tahun itu bersama
pasangannya, seorang jururawat peribadi berusia 27 tahun memaklumkan
sudah berkahwin.
Namun, setelah pemeriksaan dilakukan, pihak Jaik mendapati mereka
tiada sijil nikah yang sah dan mengubah status sebagai telah bertunang.
Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-undang, Syeikh Mohd Roshidi
Mahmud berkata, pasangan tersebut memberikan alasan bakal berkahwin dan
akibat kekangan kewangan ia terpaksa ditangguhkan.
“Mereka mungkin sudah lama bersekedudukan di situ apabila anak
perempuannya itu mengaku sering mengikut ayahnya ke kawasan tersebut
untuk berjumpa gadis itu.
“Difahamkan, gadis berasal dari Baling itu menyewa di kawasan terbabit sejak beberapa bulan lalu bersama pasangannya,” katanya.
Turut dicekup dalam operasi berkenaan adalah sepasang remaja berusia 19 dan 15 tahun yang juga anak penjawat awam.
Ketika serbuan, remaja perempuan bawah umur itu berada di dalam
selimut di atas katil manakala remaja lelaki tersebut lengkap
berpakaian.
Menurutnya, walaupun pasangan tersebut dicadangkan berkahwin namun mereka enggan berbuat demikian dengan alasan masih muda.
“Remaja perempuan itu bekerja sambilan di sekitar bandar raya ini dan
sudah tidak bersekolah manakala pasangannya berniaga,” katanya. - Sinar Harian