Bas Terjun Sungai Di Kuala Ketil

Orang ramai yang tinggal berhampiran Kg Pantai Cicar, di Kuala Ketil, Kedah tiba-tiba "gempaq" petang semalam apabila sebuah bas yang sedang membawa penumpang terjunam ke dalam sebatang sungai di situ.

Menurut sumber, bas penumpang tersebut dikatakan dalam perjalanan menuju ke Sg Petani tiba-tiba terbabas lalu terjunam ketika melalui jambatan Sungai Muda pada sekitar jam 4.45 petang.

Ketika kejadian difahamkan bahawa cuma tiga individu sedang berada dalam bas ketika itu, iaitu pemandu, penumpang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing.


Bagaimanapun, kesemua mereka telah berjaya menyelamatkan diri dengan merangkak keluar dari bas berkenaan.

Seorang daripada tiga mangsa dilaporkan telah mengalami kecederaan di kepala sebelum dihantar ke Pusat Kesihatan Kuala Ketil sebagai pesakit luar.



Pihak bomba berpusu datang ke tempat kejadian selepas dihubungi dan dikatakan telah mengesahkan tiada mangsa lain selepas pemeriksaan dilakukan sepasukan penyelam di lokasi kejadian. -KedahNews.com