Bayaran Naik 100%, Peniaga Arak Tidak Bantah - Exco Pulau Pinang

GEORGETOWN - Persatuan peniaga arak di Pulau Pinang tidak membantah kenaikan fi perkhidmatan, permit dan lesen menjual arak sebanyak 100 peratus yang diseragamkan di seluruh negara berkuat kuasa 1 Julai lepas.

Exco Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow berkata, kenaikan yang diselaraskan oleh Kementerian Kewangan untuk semua kategori premis menjual arak diterima oleh persatuan peniaga arak di negeri ini.

"Setakat ini pihak kita tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan kadar yang telah ditetapkan itu selepas peniaga di diberi sesi penerangan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas perkara yang dibangkitkan oleh persatuan peniaga arak di negeri ini yang mahukan penjelasan mengenai kenaikan itu.

Antara kategori premis itu ialah lesen peniaga borong dikenakan kenaikan sebanyak RM90 sebulan, lesen kedai runcit (RM70), lesen rumah awam (tempat penjualan arak) untuk kelas pertama dikenakan kadar sebanyak RM220 sebulan, kelas kedua sebanyak RM160 dan kelas ketiga sebanyak RM110.


Chow berkata, walaupun arahan menaikan kadar yuran perkhidmatan, permit dan lesen adalah daripada Kementerian Kewangan tetapi hasil kutipan itu disalurkan kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata, terdapat sebanyak 703 buah premis menjual arak di sekitar negeri  ini dan kutipan hasil yang diperolehi bernilai RM1.5 juta pada 2013.

"Selepas kenaikan kadar sebanyak 100 peratus itu diharap jumlah kutipan akan meningkat sekali ganda," katanya. - Bernama