“Hati
saya sebak melihat bayi yang lemah longlai seperti tidak bernyawa
didukung ibunya sambil wanita itu berdiri di muka pintu menjerit meminta
bantuan,” kata Che Sham Hussin, 53, dari Bukit Payung, Pokok Sena, Alor
Setar, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, Muhammad Adam Razin Abd Razak yang
berusia setahun tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh ke
dalam baldi berisi air dalam bilik air rumahnya.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika ibunya yang berusia 30-an,
meninggalkannya bersama dua kakaknya berusia empat dan dua tahun di
ruang tamu kerana mahu mengambil pakaian dalam kereta.
Tidak lama kemudian, wanita itu tergamam apabila mendapati anak
bongsunya tidak sedarkan diri dengan kepala tersembam dalam baldi berisi
air.
Panik dengan kejadian itu, dia mengangkat anaknya, namun badan
mangsa sudah bertukar kebiru-biruan.
Menurut Che Sham, ketika kejadian dia berada di halaman rumahnya untuk
mencari umpan memancing ikan apabila terdengar jeritan jirannya meminta
tolong.
Katanya, dia yang terkejut dengan jeritan itu segera berlari ke
arah rumah berkenaan dan melihat jirannya terbabit sedang mendukung anak
bongsunya sambil meraung.
Sumber: myMetro