Berita Baik Untuk Usahawan Kedah!

Usaha dari Dato Suraya Yaacob menubuhkan UPUK
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menubuhkan Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK), sebagai pusat sehenti bagi tujuan pembangunan, penyelarasan dan rujukan utama para usahawan di negeri ini.
  
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata walaupun terdapat pelbagai program dan bantuan disediakan kerajaan, namun akses kepada maklumat perniagaan merupakan satu daripada cabaran yang dihadapi para usahawan.
  
"Melalui UPUK, maklumat berkaitan program-program usahawan merangkumi skim-skim pinjaman perniagaan yang disediakan pihak swasta termasuk bank-bank komersial boleh diperoleh.
  
"Idea penubuhan unit ini adalah hasil daripada perbincangan semasa Makmal Transformasi Kedah yang dijalankan pada September 2013 dan ia adalah di bawah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN)," ucap beliau pada majlis perasmian UPUK di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini hari ini.
  
Beliau berkata unit itu juga menyediakan maklumat mengenai peranan serta inisiatif perniagaan yang ditawarkan oleh agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan dalam sektor keusahawanan.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Mukhriz berkata bukan semua usahawan memerlukan bantuan kewangan semata-mata, malah ada yang hanya memerlukan khidmat nasihat seperti akses pasaran untuk produk mereka.
  
Beliau berkata melalui unit berkenaan, para usahawan juga boleh mendapat nasihat atau bimbingan tentang bagaimana untuk memajukan jenama serta bagaimana untuk menembusi pasaran sama ada tempatan mahupun luar negara.
  
Sementara itu beliau berkata untuk pembiayaan, kerajaan negeri menawarkan Skim Mikro Kredit bagi membantu para usahawan termasuk usahawan baharu memulakan perniagaan.
  
"Skim Mikro Kredit ini menawarkan pembiayaan perniagaan daripada RM5,000 sehingga RM50,000 bagi membantu usahawan melaksanakan projek atau untuk pembiayaan modal kerja," katanya. - Bernama